MAJLIS BANDARAYA SHAH ALAM LAKSANA SISTEM FLEXI PARKING – SISTEM BAYARAN TEMPAT LETAK KERETA PINTAR DI KAWASAN PENTADBIRAN MAJLIS
 
Adalah dimaklumkan, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah melaksanakan Flexi Parking iaitu sistem bayaran tempat letak kereta pintar dimana penggunaan telefon pintar sebagai kaedah alternatif selain daripada menggunakan kupon gores dan pas bulanan.

Sistem Flexi Parking ini merupakan salah satu inisiatif pihak MBSA ke arah penambahbaikan pengurusan tempat letak kereta yang lebih efisien dan sistematik. Melalui sistem ini, orang ramai boleh membuat belian kredit secara talian terus melalui perbankan Internet menggunakan telefon pintar. Pengenalan sistem Flexi Parking akan memudahkan proses pembayaran pengguna tanpa perlu mempamerkan kupon gores atau pas bulanan.

Flexi Parking ini juga diperkenalkan bagi mengurangkan masalah serta aduan pengguna berkaitan kesukaran mendapatkan kupon, salah menggores kupon serta lambakan buku kupon bagi pengguna yang sering berkunjung ke kawasan pentadbiran Majlis.

Aplikasi Flexi Parking ini boleh dimuat turun secara percuma di Android Play Store atau Apple Apps Store dan ianya juga berfungsi secara dwi bahasa. Para pengguna akan diberi makluman peringatan 10 minit lebih awal sebelum tamat tempoh letak kenderaan.

Pelaksanaan sistem Flexi Parking ini bukan sahaja mengurangkan penggunaan kertas, ia juga memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi masa kini iaitu telefon pintar yang mana akan memudahkan pengguna, anggota penguatkuasa serta mempertingkatkan kualiti kecekapan perkhidmatan. Ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor sebagai Smart State menjelang 2025.

Sebarang pertanyaan berkenaan pelaksanaan sistem Flexi Parking ini, sila hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan di talian 03-5510 5133 sambungan 1477, 1656, 1657, 1658.​