Kriterium Shah Alam Mac 2018

KEJOHANAN LUMBA BASIKAL KRITERIUM SHAH ALAM 2018

KRITERIUM

Adalah dimaklumkan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menganjurkan Kejohanan Kriterium Shah Alam 2018 pada  3 Mac 2018 (Sabtu) bertempat di Persiaran Tasik, Shah Alam (sekitar Tasik Shah Alam).

Pertandingan ini merupakan antara usaha berterusan MBSA untuk membuka peluang kepada semua golongan di Shah Alam untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti sukan berbasikal seterusnya menggalakkan masyarakat mengamalkan kehidupan yang sihat dan cergas. Pada masa yang sama, ia juga membantu dalam menilai tahap prestasi pelumba serta meningkatkan daya saing dan semangat kesukanan di kalangan peserta. 

Kategori yang dipertandingkan adalah kategori basikal bukit, kategori basikal lumba dan kategori kanak-kanak. Pertandingan terbuka mengikut peringkat umur yang telah ditetapkan. Bagi kategori basikal bukit dan basikal lumba peringkat yang dipertandingkan adalah lelaki bawah umur 15 dan 18 tahun, lelaki junior master umur 36 hingga 45 tahun, lelaki senior master umur 46 ke atas, kategori lelaki terbuka dan kategori wanita terbuka. Bagi kategori kanak-kanak pula terbuka bagi kategori kanak-kanak lelaki dan perempuan berumur 4 dan 5 tahun dengan jarak 100 meter.

Peserta hendaklah menggunakan basikal sendiri mengikut kategori yang ditetapkan iaitu jenis basikal lumba dan basikal bukit. Para peserta juga diminta untuk mematuhi peraturan-peraturan keselamatan seperti yang ditetapkan oleh pihak Majlis antaranya, peserta hendaklah memakai kelengkapan keselamatan seperti helmet keselamatan dan pad tangan serta lutut.

Untuk menyertai Kejohanan Kriterium Shah Alam 2018 ini, orang ramai boleh melayari http://www.bikeaway.com.my atau hubungi Puan Iza di talian 012 980 2590.  Yuran pendaftaran yang dikenakan adalah RM20 bagi peserta kategori kanak-kanak dan RM30 bagi peserta kategori basikal bukit dan kategori basikal lumba.  Orang ramai juga dijemput untuk hadir ke Kejohanan Kriterium Shah Alam 2018 ini.