​Sejarah Shah Alam

Sejarah Shah Alam

Sebelum 1963, Shah Alam dikenali sebagai Sungai Renggam dan merupakan sebuah ladang kelapa sawit yang terletak di antara Petaling Jaya dan Bandar Diraja Klang serta dihubungkan melalui satu – satunya Lebuhraya pada ketika itu, Lebuhraya Persekutuan.

Shah Alam dibuka pada tahun 1963 bertujuan untuk dijadikan pusat pentadbiran Selangor setelah Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974. Pada 7 Disember 1978 atas perkenan DYMM Sultan Selangor ke – 8, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al- Haj, Shah Alam diisytiharkan sebagai ibu negeri Selangor dengan keluasan 41.69 km persegi. Semenjak itu Shah Alam terus mengalami beberapa kali proses perluasan kawasan dan yang terakhir adalah pada 1 Januari 1997. Melalui Pelan Warta 1190, Shah Alam diperluaskan kepada 290.3 km persegi.

Kepesatan pembangunan Shah Alam dan kepentingannya yang semakin ketara telah membawa kepada kenaikan taraf dengan perisytiharannya sebagai sebuah bandar raya pada 10 Oktober 2000. Pengisytiharan ini disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Menteri Besar Selangor yang ke –13. Shah Alam yang ditadbirkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Perbandaran Shah Alam sejak 1978 secara automatiknya mendapat taraf Majlis Bandaraya Shah Alam. Kepadatan penduduk pula diramalkan sehingga 450,000 orang menjelang 2010 hasil dari penghijrahan rakyat seluruh negara yang mencari peluang pekerjaan selain dari pertambahan bilangan kelahiran.