Majlis Bandaraya Shah Alam Anjur Majlis ‘Hi-Tea’  Media Massa Bersama Datuk Bandar Shah Alam - Hargai Usaha Pihak Media Meningkatkan Imej Majlis 

1 Jun 2016

Media massa merupakan medium penting bagi pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk meningkatkan imej MBSA di mata masyarakat melalui hebahan perkhidmatan terkini, program dan aktiviti yang dilaksanakan.  Oleh yang demikian,  pihak Majlis telah menganjurkan Majlis ‘Hi-Tea’ Media Massa Bersama Datuk Bandar Shah Alam untuk meraikan pihak media sebagai tanda penghargaan dalam membantu menyalurkan maklumat kepada orang ramai khususnya yang bermastautin di kawasan pentadbiran MBSA.   Seramai 60 orang pengamal media dari pelbagai agensi media massa telah hadir ke majlis ini. 

Majlis ini juga merupakan usaha berterusan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di antara pihak media massa  dan MBSA.  Pihak Majlis menghargai sumbangan pihak media massa yang telah banyak membantu mewar-warkan aktiviti dan program Majlis sekaligus meningkatkan imej Majlis di mata masyarakat. 

Disamping itu,  pihak Majlis turut menyerahkan sumbangan kepada  Pusat Pengurusan Al-Firdaus,  Denai Alam, Seksyen U16, Shah Alam bernilai RM2000. Anak-anak yatim seramai 15 orang ini turut diberikan sumbangan cenderahati bernilai RM100 setiap seorang. 
Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Hj. Ahmad Zaharin b. Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam. Turut serta pada majlis ini Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA .

Program bersama pihak media massa ini akan diadakan secara berterusan bagi mempereratkan lagi hubungan bersama pengamal media dan memperkasakan lagi hubungan erat diantara kedua-dua belah pihak. 

​​Hi Tea 1Hi Tea