Majlis Bandaraya Shah Alam Anjur Majlis Pelancaran Program Pengasingan Sampah Dari Rumah Fasa 2 2016 – Ke Arah Menjadikan Shah Alam Bandar Raya Sifar Sampah (Zero Waste)

 8 Oktober ​2016

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengadakan Program Pengasingan Sampah dan Edaran Tong Sampah Fasa Ke-2  pada 8 Oktober 2016 (Sabtu) bertempat di Kelab Rekreasi & Berkuda Denai Alam (DARC), Seksyen U16,  Shah Alam. 
Program ini merupakan inisiatif berterusan pihak MBSA dalam memberikan pendedahan kepada warga Shah Alam berkaitan program pengasingan sisa yang akan dilaksanakan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam. Pelaksanaan Program Pengasingan Sampah dan Edaran Tong Sampah Fasa Ke-2 yang telah bermula mulai 1 Oktober 2016 ini melibatkan 6 lokasi iaitu Seksyen 8, 19, 24, 31, U5 dan U20.
  
Setiap lokasi terpilih akan diberikan plastik pengasingan sisa bagi mengasingkan 3 jenis sisa iaitu kertas, aluminium, tin dan plastik.  Kutipan sisa boleh dikitar semula ini akan dikutip sekali (1x) seminggu pada setiap hari Sabtu. Pihak Majlis menyasarkan penglibatan premis jenis kediaman teres sebanyak 1,000 unit bagi setiap lokasi. 
Program pada pagi ini juga melibatkan peserta daripada 5 Zon Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam yang terlibat secara langsung di dalam Program Pengasingan Sampah Dari Rumah Fasa 1 pada 01 Oktober 2015. Sepanjang pelaksanaan Program Pengasingan Sampah Dari Rumah Fasa 1 ini,  sejumlah 1,849 unit premis kediaman jenis teres telah terlibat menjayakan program tersebut. Penduduk di 5 Zon MPP ini akan diberikan 1 unit tong sampah MGB 80 liter sebagai insentif program.

Pihak Majlis amat komited dengan usaha untuk memupuk sikap mengamalkan amalan kitar semula di kalangan penduduk Shah Alam.  Pihak Majlis berhasrat untuk mendidik masyarakat dan menerapkan kepentingan menjaga alam sekitar di dalam diri dan juga keluarga.
Program ini juga merupakan platform pihak Majlis untuk meningkatkan kadar peratus kitar semula bagi mencapai matlamat Shah Alam ke arah Bandar Raya Sifar Sampah (Zero Waste). 
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ahmad Zaharin b. Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam. Turut hadir Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.


pengasingan sampah​​​pengasingan sampah
pengasingan sampahpengasingan sampah