Majlis Bandaraya Shah Alam Terima Tajaan Mizuno Malaysia – Perkasa Klinik Pembangunan Sukan MBSA

21 Ogos ​2016
Pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Mizuno Malaysia kerana bersetuju untuk menaja Klinik Pembangunan Sukan MBSA.

Melalui tajaan ini,  pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menerima tajaan berjumlah RM90,000 untuk meningkatkan lagi aktiviti pembangunan sukan di kawasan Shah Alam. Tajaan berupa peralatan sukan seperti baju dan bola ini akan digunakan oleh peserta di bawah Klinik Pembangunan Sukan MBSA iaitu Sukan Bola Sepak,  Bola Tampar, Futsal, Taekwando dan Ragbi.  Inisiatif yang diberikan oleh pihak Mizuno Malaysia ini  dapat membantu MBSA untuk memberi pendedahan dan menarik minat para remaja untuk menceburi aktiviti sukan di bandaraya Shah Alam. 

Klinik Pembangunan Sukan ini akan diadakan pada setiap hujung minggu,  menyasarkan remaja berumur 12 hingga 18 tahun di bawah kawasan pentadbiran MBSA.  Program pada hari ini, memberi fokus kepada Klinik Bola Sepak yang diadakan di Padang C MBSA,  Seksyen 14, dan Klinik Bola Tampar di Dewan MBSA,  Seksyen  4, Shah Alam.

Klinik Bola Sepak melibatkan penyertaan 150 orang peserta yang dikendalikan oleh Anuar Abu Bakar,  bekas pemain bola sepak Selangor bersama beberapa jurulatih dan dibantu oleh Mehmet Durakovic,  bekas Jurulatih Selangor.  Manakala,  Klinik Bola Tampar pula melibatkan penyertaan 60 orang peserta yang dikendalikan oleh En. Abdul Halim dan En  Ling Sii Nen, Jurulatih Bola Tampar MBSA & Selangor.  

MBSA dan Mizuno amat komited untuk melaksanakan program-program pembangunan sukan yang kini menjadi trend kepada golongan belia seperti Sukan Bola Sepak,  Futsal,  Bola Tampar, Taekwando dan Ragbi yang juga merupakan antara sukan popular di kalangan masyarakat terutamanya remaja pada masa kini.  Melalui program ini,  pihak MBSA dan Mizuno berharap dapat membentuk disiplin dan jati diri serta memupuk semangat kesukanan bagi melahirkan individu yang sihat dan cergas. Pihak MBSA juga berharap bakat dan kebolehan para peserta Klinik Pembangunan Sukan MBSA dan Mizuno ini dapat digilap seterusnya membolehkan mereka mewakili negeri dan negara di dalam acara sukan pada masa-masa akan datang. 

Selain itu,  program ini juga merupakan  platform oleh pihak MBSA dan Mizuno untuk memberi peluang kepada remaja di Shah Alam khususnya,  bergiat aktif di dalam aktiviti sukan seterusnya menggalakkan kehidupan yang sihat dan cergas.  Ia bersesuaian dengan usaha MBSA untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya sukan.

Program akan  disempurnakan oleh Timbalan Datuk Bandar MBSA,  Encik Shukri bin Mohamad Hamin. Turut hadir, Encik Gabriel Lee, Regional Marketing Manager Mizuno Singapore,  Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan, MBSA.
​​
sukan mizuno​​​sukan mizuno
​ ​Gimik Penyerahan T-Shirt dan Bola oleh Encik Gabriel Lee, Regional Marketing Manager Mizuno Singapore kepada Encik Shukri bin Mohamad Hamin, Timbalan Datuk Bandar, MBSA.
​ ​​klinik mizuno
​Encik Shukri bin Mohamad Hamin, Timbalan Datuk Bandar, MBSA dan  Encik Gabriel Lee, Regional Marketing Manager Mizuno Singapore  bergambar bersama peserta Klinik Bola Tampar ​