Majlis Bandaraya Shah Alam Terima Anugerah Langkawi 2015/2016 Kategori Pertubuhan/Organisasi

24​​​​ Oktober ​2016

Adalah dimaklumkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah dipilih untuk menerima Anugerah Langkawi 2015/2016 bagi kategori pertubuhan/organisasi.  Majlis Penyampaian Anugerah ini telah diadakan semasa Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar yang telah di adakan di Kuching Waterfront,  Kuching,  Sarawak pada 22 Oktober 2016. 

Pemilihan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berdasarkan kepada komitment dan kesungguhan MBSA untuk mengekalkan kehijauan dan kesejahteraan alam sekitar dengan mengadakan program-program inisiatif hijau dan juga aktiviti yang menuju ke arah Shah Alam ke arah Bandar Raya Rendah Karbon menjelang 2030.

Antara program dan inisiatif yang melayakkan MBSA menerima anugerah ini adalah memperkenalkan Program Kempen Kitar Semula di sekolah-sekolah sekitar Shah Alam melalui Pertandingan Kutipan Sampah, Program Penanaman Pokok “Shah Alam Trees For Life”, Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai, Program Pengasingan Sampah dari Rumah,  Program Baja Kompos Sisa Makanan,  Kebun Kejiranan, Penyediaan Trek Basikal dan pelbagai lagi program dan inisiatif hijau.​

Selain itu,  pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga sentiasa memberi penekanan kepada konsep dan inisiatif “Pembangunan Hijau” dalam perlaksanaan pembangunan.  Konsep kejiranan hijau mengariskan panduan dan prinsip perancangan kejiranan untuk memelihara dan meningkatkan kualiti persekitaraan kehidupan yang lebih kondusif dengan menerapkan elemen-elemen penghijauan dalam perancangan guna tanah, rekabentuk bandar, susunatur kawasan kejiranan dan sebagainya.

Anugerah ini telah diterima oleh Dato’ Haji Ahmad Zaharin b. Mohd Saad,  Datuk Bandar Shah Alam.  Majlis penyampaian telah disempurnakan oleh Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak.  

Penganugerahan ini merupakan satu penghormatan kepada pihak MBSA dan akan dijadikan sebagai dorongan dan motivasi kepada seluruh warga kerja MBSA untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cekap dan efisyen kepada masyarakat khususnya komuniti yang bermastautin di kawasan pentadbiran MBSA.  

​​ ​​​anugerah langkawi
​YBhg. Dato' Hj. Ahmad Zaharin Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam menerima replika cek bernilai RM10,000 daripada Tan Sri Adenan Satem,  Ketua Menteri Sarawak di atas kejayaan menerima Anugerah Langkawi 2015/2016 Kategori Pertubuhan / Organisasi.​
​​​​​​​