Program Bazar Ramadan Mampan Negeri Selangor 2018 Anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam – Ke Arah Shah Alam Bandar Raya Rendah Karbon Menjelang 2030

23 Mei 2018

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah menganjurkan Program Bazar Ramadan Mampan Negeri Selangor 2018 dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor.  Program ini merupakan inisiatif pihak Majlis bagi mendekati pengusaha/penjaja makanan dan minuman di Bazar Ramadan (TPM) Jalan 17/20, Seksyen 17.  

Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran  awam kepada masyarakat mengenai kepentingan pengurangan penggunaan bag plastik dan menggalakkan penggunaan biodegradable bag serta penguatkuasaan pematuhan larangan penggunaan polistirena di Negeri Selangor. Langkah ini akan dapat membantu mengawal pencemaran alam sekitar akibat daripada pembuangan plastik dan polisterina yang tidak hancur.

Program ini  disempurnakan oleh YB. Tuan Hee Loy Sian,  Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar,  Teknologi Hijau, dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Selangor dengan menyerahkan barangan kelengkapan pengendali makanan seperti apron, topi dan bekas makanan mesra alam kepada pengusaha/penjaja makanan dan minuman di Bazar Ramadan.  Turut mengiringi beliau YBhg. Dato’ Haji Ahmad Zaharin b. Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam. 

Pada masa yang sama, pihak MBSA telah memberi sumbangan bubur lambuk kepada para pengunjung di bazar ramadan iaitu sebanyak 500 bekas bubur lambuk untuk diedarkan secara percuma. Selain itu, pihak MBSA juga turut mengedarkan mangkuk tingkat secara percuma kepada para pengunjung untuk menyokong kempen ‘Kempen Bebas Polistirena Shah Alam 2018’. 
Program ini turut merangkumi  kempen kesedaran kitar semula dan kempen kitar semula minyak masak terpakai untuk menggalakkan orang ramai menjaga alam sekitar. 

Bazar Ramadan Seksyen 17, Shah Alam ini merupakan bazar Ramadan di bawah pengurusan pihak Majlis yang terdiri daripada 142 pengusaha/penjaja makanan dan minuman. Secara keseluruhan, pihak Majlis telah mengeluarkan sebanyak 1971 permit bazar Ramadan di 33 lokasi tapak bazar Ramadan seluruh kawasan pentadbiran MBSA.


ziarah​​​​

​​​​​​​ziarah

ziarah
ziarah