Majlis Bandaraya Shah Alam Anjur Pasar Bunga Dan Pameran Anggerik Shah Alam 2018 – Didik Komuniti Hargai Suasana Hijau Dan Keindahan Lanskap

03 Ogos 2018

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengadakan Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam 2018 buat kali kedua  bertempat di Laman Budaya, Taman Tasik Shah Alam mulai 9 Ogos hingga 12 Ogos 2018 (Khamis – Ahad) pada jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

Pasar bunga ini melibatkan penyertaan pelbagai penggerai yang menjual produk pertanian seperti pokok-pokok Anggerik, hasil-hasil kebun seperti sayur-sayuran (bayam, cili, jagung,kobis, roselle,limau, dan terung), kompos, baja organik dan pasu-pasu. 

Pihak MBSA juga akan mengadakan Program Bengkel Anggerik pada 12 Ogos 2018 (Ahad).  Penyertaan boleh dilakukan secara ‘walk in’ dan bayaran penyertaan hanya RM10 kepada para pengunjung yang berminat mengenai untuk mendalami ilmu penjagaan orkid dan pembiakannya. 

Selain itu, antara pengisian aktiviti yang akan di sepanjang program ini adalah Pertandingan Anggerik individu (terbuka kepada Ahli Kelab Anggerik Shah Alam dan Penduduk Shah Alam), Pameran Anggerik, dan Memancing Mini Kanak-Kanak.

Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam 2018 ini merupakan komitmen berterusan pihak MBSA untuk mendidik komuniti untuk menghargai suasana hijau dan keindahan lanskap. Pasar bunga ini juga diharapkan menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negara khususnya buat peminat-peminat bunga dan tanaman hiasan.

Melalui program seumpama ini, orang ramai secara tidak langsung dapat mengenali pelbagai jenis bunga mengikut spesis serta menggalakkan sikap cintakan alam sekitar.  Ia juga merupakan platform pihak MBSA untuk memperkenalkan produk tempatan dan menggalakkan penduduk di sekitar Shah Alam terutamanya untuk menanam pokok bagi menghijaukan suasana alam sekitar di kediaman masing-masing.




gotong-royong​​​​

​​​​​​​gotong-royong