PROGRAM JUALAN SAYUR PETIK SENDIRI DARI LADANG SEMPENA HARI BUMI 2019 ANJURAN MAJLIS BANDARAYA SHAH ALAM – DIDIK KOMUNITI SETEMPAT BERGANDING BAHU PELIHARA ALAM SEKITAR

21 April 2019

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengadakan Program Jualan Sayur Petik Sendiri Dari Ladang Sempena Hari Bumi pada 21 April 2019 bertempat di Kebun Komuniti Seksyen 8 Fasa 1, Seksyen 8, Shah Alam mulai jam 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari.

Tujuan program Jualan Sayur Petik Sendiri dari Ladang ini diadakan adalah sebagai platform kepada komuniti setempat untuk mendapatkan sayur-sayuran dengan lebih murah dan segar. Di samping itu juga program ini boleh memberi sumber pendapatan tambahan kepada persatuan penduduk melalui hasil jualan sayuran kebun komuniti ini.

Selain itu, program ini juga dapat menjadikan konsep "dusun di bandar" sebagai satu aset hidup kepada Shah Alam dan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya. Kewujudan kebun komuniti secara tidak langsung dapat memberi kesan optima kepada ruang-ruang yang terbiar dan tidak ekonomik kepada yang lebih hijau dan mampan.

Pelbagai sayur-sayuran  dijual kepada orang ramai antaranya bayam, kangkung, sawi, pucuk ubi, ulam-ulaman, lemon dan banyak lagi.  Pada program ini , orang ramai juga berpeluang untuk memetik sendiri sayur yang segar dan dijual dengan harga yang lebih murah daripada pasaran.

Kebun komuniti di Shah Alam ini merupakan sebahagian daripada komponen dalam penilaian Anugerah Hijau  Pertandingan Zon Bersih Mini (MiniZeeBee) anjuran pihak MBSA dan telah menjadi satu program yang dapat membantu melahirkan masyarakat yang mampan serta meningkatkan kehidupan di bandar.

Sebanyak 5 Kebun Komuniti yang akan turut serta dalam program kali ini iaitu Kebun Komuniti Jalan Jaluran 8/3 Seksyen 8, Kebun Komuniti Seksyen 24 Setia, Kebun Komuniti Jalan Tuntung Seksyen 20, Kebun Komuniti Surau Al Husna Seksyen 20,  dan Kebun Komuniti Kg Bukit Cherakah Jaya Seksyen U15. Semua kebun ini dibantu dan dipantau oleh Jabatan Landskap, MBSA.

Selain jualan sayur, kebun-kebun komuniti juga menawarkan jualan seperti anak pokok, biji benih, baja kompos dan buah-buahan tempatan, burung puyuh dan cendawan.

Program ini juga melibatkan 35 orang pelajar Sarjana Fakulti Pengursan Hotel dan Pelancongan, UiTM yang akan menyediakan makanan sihat untuk para pengunjung dengan menggunakan bahan-bahan hasil tani dari Kebun Komuniti di sekitar Shah Alam.

Melalui program ini juga pihak MBSA ingin memberikan pengalaman memetik sendiri sayur kepada orang ramai dan aktiviti memetik sayur ini juga akan dipopularkan agar ia menjadi 'trend' agar dapat menggalakkan masyarakat memakan sayur-sayuran agar dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada sayur-sayuran import.

Kelebihan sayur-sayuran di kebun komuniti adalah segar, murah, dan organik. Harga sayur organik di pasaran adalah dua hingga tiga kali ganda berbanding harga di kebun komuniti yang jauh lebih rendah.

Majlis Jualan Sayur Petik Sendiri Dari Ladang ini telah disempurnakan oleh YB Dr Siti Mariah binti Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor. Turut hadir dalam program ini adalah Tuan Ir. Haji Cheremi bin Tarman, Timbalan Setiausaha MBSA, Ahli-Ahli Majlis, Pengarah-Pengarah Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian dan Pengurus-Pengurus Cawangan MBSA.

Sekian.  Terima kasih.