122 KAKITANGAN MAJLIS BANDARAYA SHAH ALAM TERIMA ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2018

24 April 2019

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meraikan seramai 122 orang kakitangan cemerlang melalui Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 pada 24 April 2019 (Rabu). Majlis dianjurkan setiap tahun bagi menghargai jasa dan komitmen kakitangan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, di samping mengangkat peranan MBSA sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya warga Shah Alam.

 

Seramai 122 orang warga kerja MBSA dari pelbagai gred dan jawatan telah diiktiraf untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2018. Penerima anugerah ini dinilai dari segi kebertanggungjawaban, integriti, kepatuhan terhadap peraturan kerja, prestasi yang memberangsangkan, kemampuan untuk menyelesaikan tugas dengan baik, serta usaha dan komitmen kakitangan dalam menjalankan tugasan yang diamanahkan. Penerima akan memperolehi insentif berupa hadiah prestasi berjumlah RM1,000 setiap seorang, sijil Perkhidmatan Cemerlang, Sijil Simpanan Premium BSN bernilai RM400, serta mendapat peluang dan keutamaan dalam memajukan kerjaya.

 

Objektif utama pengiktirafan ini diberikan adalah sebagai dorongan kepada seluruh warga kerja MBSA untuk mempertingkatkan lagi prestasi kerja dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugasan seharian. Dengan pemberian anugerah ini pihak Majlis berharap agar penerima anugerah dapat meneruskan komitmen dan perkhidmatan yang cemerlang dalam melaksanakan tugas-tugas yang telah diamanahkan.

 

Pihak Majlis amat menghargai komitmen dan kesungguhan warga kerjanya dengan meraikan kakitangan cemerlang yang merupakan aset dan tulang belakang dalam memperkasakan sistem penyampaian  (delivery system) dan memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

 

Penganugerahan ini juga merupakan salah satu usaha berterusan pihak Majlis untuk menjadikan MBSA sebuah organisasi yang cemerlang dan progresif dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada stakeholder, khususnya warga bandar raya Shah Alam

 

Selain itu, turut diadakan Anugerah Khas Perkhidmatan kepada 25 orang kakitangan MBSA, Anugerah Persaraan kepada 5 orang kakitangan MBSA serta Anugerah Pengkhidmat Setia 25 tahun kepada 14 orang kakitangan MBSA. Penerima Anugerah Khas  menerima sijil penghargaan dan sijil premium BSN bernilai RM400, manakala penerima Anugerah Persaraan menerima sijil penghargaan, wang tunai sebanyak RM1,000 dan sijil simpanan BSN bernilai RM500. Penerima Anugerah Pengkhidmat Setia 25 Tahun pula menerima wang tunai sebanyak RM4,000 dan sijil penghargaan.

 

Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Tuan Haji Amirudin bin Shari, Dato' Menteri Besar Selangor.  Turut hadir adalah YB. Dato' Nor Azmie bin Diron, Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Tuan Mohd Rashidi bin Ruslan,Timbalan Datuk Bandar Shah Alam,  Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.

 

Sekian, terima kasih.