MAJLIS BANDARAYA SHAH ALAM ANJUR PROGRAM ZIARAH RAMADHAN 1440H/2019 - HULUR SUMBANGAN RAMADHAN KEPADA 120 BUAH KELUARGA SEKITAR SHAH ALAM

26 April 2019

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meneruskan aktiviti penyerahan sumbangan sempena ketibaan bulan Ramadan dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan khususnya penduduk yang kurang bernasib baik di sekitar Shah Alam.

Pihak MBSA melalui Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam telah mengenalpasti seramai 120 penerima sumbangan iaitu 5 orang bagi setiap zon terdiri daripada warga Shah Alam yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah, layak menerima sumbangan Ramadan mengikut kriteria yang ditetapkan seperti golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas yang tidak berkemampuan serta Orang Kurang Upaya (OKU).

Tujuan program ini diadakan adalah untuk membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan bagi membuat persediaan menyambut bulan Ramadan. Ia merupakan komitmen secara berterusan oleh pihak Majlis untuk membantu masyarakat melalui program kemasyarakatan disamping memberi peluang kepada warga Shah Alam untuk mendekati pihak pengurusan Majlis. Selain itu, program ini juga merupakan platform pihak MBSA  untuk merapatkan hubungan silaturrahim dan ukhwah antara pihak MBSA dan masyarakat setempat. 

Sumbangan yang diberikan adalah berbentuk barangan makanan kering keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, sardin, kurma, kicap,  garam,  tepung gandum,  susu pekat, rempah kari, biskut tin dan sebagainya bagi menjamin menu harian yang sihat.  

 

Nilai barangan yang disumbangkan oleh MBSA kepada golongan ini adalah  RM150 berupa barangan keperluan dan wang tunai sebanyak RM100 untuk setiap keluarga.

Program ini akan di hadiri oleh Tuan Mohd Rashidi Bin Ruslan, Timbalan Datuk Bandar. Turut serta pada program ini ialah Encik Kamarudzaman Bin Sanusi, Pengerusi MPP Zon 12, Encik Papparaidu @ Raidu A/L Veraman, Pengerusi MPP Zon 14, Encik Wan Dzahanurin Bin Haji Ahmad, Pengerusi MPP Zon 19, Puan Mariam Binti Abdul Rashid, Pengerusi MPP Zon 23 dan Pengarah Jabatan MBSA. 

Pihak Majlis berharap melalui program ini dapat membantu sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh mereka yang kurang bernasib baik untuk menjalani ibadah dengan sempurna pada bulan Ramadan.

Diharapkan pihak Tuan/Puan dapat menyiarkan kenyataan ini untuk makluman orang ramai.  Kerjasama dan jasa baik Tuan/Puan amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih. Pertanyaan sila hubungi saya di talian 013-3380551.

Sekian terima kasih.