​Majlis Bandaraya Shah Alam Laksana Operasi Sitaan – Pemegang Harta Di Shah Alam Masih Belum Menjelaskan Tunggakan Berjumlah RM 27 Juta

28 Januari 2016


Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan, MBSA giat melaksanakan operasi sitaan terhadap pemilik–pemilik harta yang gagal melunaskan tunggakkan cukai taksiran masing-masing. Sejumlah RM 27 juta tunggakan cukai taksiran masih belum dijelaskan oleh pemegang harta di bawah pentadbiran Majlis. Operasi ini diadakan selaras dengan peruntukkan di bawah Seksyen 148, Akta Kerajaan Tempatan 1976. 

Tujuan operasi ini dilaksanakan adalah bagi memberikan kesedaran dan pendidikan kepada pemilik hartanah terhadap kepentingan cukai taksiran bagi tujuan menambahbaik perkhidmatan perbandaran yang disediakan oleh pihak Majlis. Operasi ini dilaksanakan setelah pemilik hartanah diberikan notis peringatan oleh MBSA. Operasi yang dianggotai oleh pegawai dan kakitangan Seksyen Pengurusan Hasil, MBSA menyita barangan mudah alih yang menyamai jumlah tunggakan cukai taksiran premis tersebut.

Operasi Tindakan Sitaan akan dijalankan pada setiap minggu dengan memilih kawasan-kawasan yang mempunyai jumlah tunggakan cukai taksiran yang tinggi.  Pemilik-pemilik hartanah di sekitar Shah Alam adalah diingatkan supaya menjelaskan tunggakan cukai taksiran bagi mengelakkan tindakan sitaan di ambil ke atas pegangan masing-masing. 

Kutipan cukai taksiran akan digunakan untuk mempertingkatkan perkhidmatan perbandaran seperti perkhidmatan kutipan sisa pepejal, perkhidmatan pembersihan awam, penyediaan landskap, penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan awam dan infrastruktur di sekitar bandar raya Shah Alam seperti jalan raya, longkang lampu, jalan dan sebagainya

Bagi memudahkan pemilik-pemilik harta menjelaskan bayaran cukai taksiran, pihak MBSA ada menyediakan pelbagai kemudahan bayaran seperti di kaunter-kaunter bank dan secara atas talian. MBSA turut membuka kaunter bayaran di setiap Pejabat Cawangan MBSA dan di Pejabat Bergerak ‘Shah Alam On Wheel’ secara berjadual mengikut kawasan yang ditetapkan. Sebarang pertanyaan berkaitan Cukai Taksiran, orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil MBSA di talian 03-5522 2882.

operasi sita