Majlis Bandaraya Shah Alam Laksana Operasi Task Force Denggi Di Seksyen U8, Bukit Jelutong

15 Februari 2016

Berikutan peningkatan kes demam denggi di kawasan Shah Alam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengadakan Operasi Task Force Denggi di sekitar kawasan Seksyen U8 pada 13 Februari 2016. 

Sebanyak 34 pasukan terdiri daripada para pegawai dan warga kerja MBSA telah membuat pemeriksaan pembiakan jentik-jentik di sekitar kawasan kediaman Seksyen U8. Kawasan yang berpotensi sebagai tempat pembiakan jentik-jentik Aedes yang diperiksa adalah di kawasan rumah kediaman. Sebanyak 131 kes demam denggi dicatatkan di sekitar kawasan Seksyen U8 bermula dari 29 Oktober 2015 sehingga kini.

Bermula dari awal tahun 2016, pihak MBSA telah mengadakan aktiviti pemeriksaan terhadap 2,744 premis di sekitar Shah Alam, aktiviti semburan atau ‘fogging’ di 97,895 premis dan mengeluarkan sebanyak 88 kompaun atas kesalahan membiak jentik-jentik Aedes. Selain itu, MBSA juga melaksanakan aktiviti pendidikan dengan mengedarkan sebanyak 9,126 risalah berkenaan demam denggi. 

MBSA juga menyeru kepada orang ramai untuk mengambil masa 10 minit setiap minggu untuk memastikan kawasan luar dan dalam premis berada dalam keadaan bersih dan kemas. Pihak MBSA akan sentiasa mengadakan pemeriksaan secara berkala di sekitar bandar raya Shah Alam yang berpotensi sebagai kawasan pembiakan jentik-jentik Aedes seperti di kawasan kediaman, kawasan berstrata, kilang, tapak binaan, Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta, sekolah/tadika dan sebagainya.
MBSA juga telah menubuhkan Bilik Gerakan Denggi bagi memantau dan menerima aduan orang awam serta menyediakan laporan demam denggi hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan. Bilik Gerakan Denggi boleh dihubungi di talian 03-5522 2793 (waktu pejabat).


​​denggidenggi
denggi
denggi
​​