Majlis Bandaraya Shah Alam Komited Basmi Iklan Haram Melalui Operasi Besar-Besaran Menanggalkan Iklan Haram Di Kawasan Pusat Bandar Shah Alam

19 Februari 2016

Dalam usaha untuk memerangi penampalan iklan tanpa kebenaran, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), sentiasa komited dengan operasi menanggalkan iklan-iklan haram di sekitar pusat banda raya Shah Alam.

Operasi ini bertujuan untuk memastikan bandar raya Shah Alam bebas dari iklan haram dan juga merupakan usaha berterusan pihak MBSA untuk membendung pemasangan iklan tanpa kebenaran ini. Antara tempat yang sering menjadi tumpuan bagi penampalan iklan haram adalah, di tiang-tiang lampu jalan, pokok-pokok dan juga tanda arah jalan.

Pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memandang serius permasalahan ini kerana tampalan iklan-iklan ini boleh merosakkan pemandangan bandar raya Shah Alam, di samping menyukarkan serta mengelirukan para pengguna jalan raya kerana iklan-iklan yang ditampal telah menutup arahan-arahan di papan tanda arah jalan.

Bagi menangani masalah ini, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengadakan operasi menurunkan iklan-iklan haram secara berkala dan lebih kerap yang melibatkan anggota penguatkuasa di Pejabat Utama Wisma MBSA serta anggota penguatkuasa yang ditugaskan di Pejabat Cawangan MBSA iaitu, di Kota Kemuning, Sungai Buloh dan Setia Alam.

Sebagai makluman, bermula dari Januari 2015 sehingga Disember 2015 sebanyak 282,399 iklan tanpa kebenaran berjaya ditanggalkan oleh pihak MBSA. Antara perkhidmatan iklan tanpa kenbenaran ini adalah berkaitan dengan wang, sewa lori, pusat tuisyen, lelong rumah, perubatan tradisional dan sebagainya.

Pemasangan iklan tanpa kebenaran pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merupakan satu kesalahan di bawah peruntukan undang-undang kecil iklan (MBSA) 2007. Sehubungan itu, pihak MBSA ingin menegaskan kepada orang ramai yang ingin memasang iklan-iklan termasuk kain rentang, poster, "street bunting", billboard dan sebagainya bagi mempromosikan barangan atau perkhidmatan supaya mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pihak MBSA sebelum membuat pemasangan.

iklan_haram