Majlis Bandaraya Shah Alam  Anjur Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan Bertemakan Minggu Kesihatan – Galak Warga Shah Alam Sertai Aktiviti Sihat Dan Cergas

07 September 2017

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengadakan Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan bertemakan Minggu Kesihatan pada 10 September  2017 (Ahad) bertempat di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Shah Alam.
 
Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan merupakan inisiatif pihak MBSA ke arah melahirkan warga Shah Alam yang mengamalkan gaya hidup sihat, di samping mengurangkan penggunaan kenderaan di atas jalan raya yang menyebabkan pelepasan gas karbon monoksida yang boleh mencemar alam sekitar. Sepanjang program ini,  orang ramai hanya dibenarkan untuk menggunakan basikal, roller blade, papan luncur, hover board, berjalan kaki, dan skuter blade di sekitar kawasan pusat bandaraya. 
 Pihak MBSA juga akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Tetap Kesihatan,  Kebajikan,  Pembangunan Wanita dan Keluarga,  Negeri Selangor untuk menjayakan Minggu Kesihatan seperti mengadakan Jalan Santai 10,000  langkah, Pameran Skim Peduli Sihat, Bantuan Sihat Selangor, dan Saringan Sihat Selangor, serta kerjasama dengan Rakan-Rakan Strategik seperti tajaan makanan sihat dan tips kesihatan oleh DEMC Shah Alam, pameran kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah, aktiviti mengikat reben merah berbentuk hati oleh Galeri Shah Alam, jualan  dan sewaan basikal, lorong seni oleh PKNS Real Estate Sdn. Bhd. (PREC), dan pameran pencegahan denggi. 

Pelbagai aktiviti menarik akan turut diadakan untuk memeriahkan program ini antaranya pelepasan peserta untuk aktiviti riadah seperti  berbasikal,  acara berjalan kaki,  persembahan pentas oleh kombo MBSA, aktiviti senamrobik, pertandingan pakaian paling kreatif (tema kitar semula), aktiviti mewarna dan cabutan bertuah. 

Bagi menarik penyertaan orang ramai,  pihak MBSA juga akan  menyediakan chu chu train secara percuma, penyewaan basikal dan skuter elektrik, face painting, wall climbing serta fruit challenge. Warga Shah Alam juga  turut berpeluang untuk membeli baja kompos, jualan makanan di Food Truck, melihat pameran Inisiatif Rendah Karbon oleh MBSA dan Kaunter Bergerak Shah Alam on Wheel (SAOW) untuk pembayaran cukai pintu. Kaunter Bergerak Shah Alam On Wheels ini akan menyediakan kemudahan perkhidmatan seperti semakan dan pembayaran cukai taksiran, semakan dan pembayaran kompaun tempat letak kereta, kaunter aduan, jualan kupon parkir dan sebagainya.

Matlamat penganjuran program ini pada masa yang sama memberi fokus  terhadap aspek penjagaan alam sekitar ke arah menjadikan Shah Alam Bandar Raya Rendah Karbon menjelang tahun 2030.  
Pada masa yang sama, pihak MBSA mengharapkan kerjasama dari orang ramai dan  pemilik-pemilik bangunan sekitar pusat bandar untuk mengambil maklum mengenai jalan-jalan yang akan ditutup sepanjang program ini iaitu Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan),  Persiaran Perbandaran,   Persiaran Tasik,  Persiaran Masjid, Persiaran Dato’ Menteri dan  Persiaran Damai pada tarikh 10 September 2017 (Ahad) mulai jam 06.30 pagi sehingga 09.30 pagi.


car free day​​​​

​​​​​​​car free day

car free day
car free day
car free day
​​car free day


​​​ ​​​​​​​