Majlis Bandaraya Shah Alam Laksana Program Hari Bertemu Pelanggan Sempena Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-17 – Lancar Aplikasi I-Adu Ke Arah Sistem Pengurusan Aduan Yang Lebih Efisien Dan Pantas

01 Oktober 2017

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengadakan program Hari Bertemu Pelanggan (HBP) sempena Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-17 yang dilaksanakan bagi mendekati warga kota Shah Alam secara terus. Program seperti ini memberi peluang kepada orang ramai dan pihak berkepentingan (stakeholder) untuk menyalurkan aduan, komen dan saranan. Program ini telah diadakan pada 21 Oktober 2017 (Sabtu) bertempat di SACC Mall Shah Alam.

Pelaksanaan Program Hari Bertemu Pelanggan ini adalah  sebagai sebuah platform kepada orang ramai khususnya warga kota Shah Alam untuk bertemu dengan pihak pengurusan atasan MBSA bagi menyalurkan aduan dan permasalahan yang dialami di kawasan pentadbiran MBSA. Selain itu program ini juga merupakan komitmen berterusan pihak Majlis untuk mempertingkatkan serta memperbaiki sistem penyampaian (delivery system) komuniti setempat.

Pada program kali ini,  pihak Majlis juga telah melancarkan Aplikasi i-ADU iaitu kaedah penyaluran aduan yang lebih menyeluruh dimana  proses membuat aduan, semakan aduan, penerimaan maklumbalas dan penilaian tahap kepuasan penyelesaian aduan dilaksanakan di dalam talian. Melalui Aplikasi i-Adu, aduan boleh dilaporkan secara 24 jam bertujuan untuk memudahkan orang awam membuat aduan selain daripada menyalurkan aduan melalui portal MBSA, talian bebas tol 1800-884477, secara bersemuka, surat, borang dan aduan di media sosial MBSA.

Aplikasi i-Adu merupakan salah satu insiatif pihak Majlis untuk menambahbaik sistem penyampaian (delivery system) MBSA demi kemudahan dan kesenangan masyarakat khususnya warga kota Shah Alam.

Program ini juga merupakan usaha pihak Majlis untuk memberi ruang kepada Jabatan/Bahagian/Pejabat Cawangan MBSA untuk mewar-warkan dan mempromosikan perkhidmatan/ produk kepada orang ramai yang hadir ke program ini. Antara perkhidmatan yang disediakan semasa program ini adalah  seperti penyemakan dan pembayaran cukai taksiran, penyemakan dan pembayaran kompaun khususnya kompaun trafik, semakan aduan, permohonan ubahsuai premis dan sebagainya.

Selain itu,  pihak Majlis juga turut menyediakan pameran perkhidmatan MBSA bertujuan untuk memberikan peluang kepada masyarakat untuk lebih mengenali MBSA secara dekat dan membolehkan pengunjung memahami pengoperasian MBSA secara menyeluruh. Pameran-pameran ini melibatkan segmen-segmen seperti Organisasi dan Pencapaian serta Perkhidmatan –Perkhidmatan Jabatan di MBSA.

Program Hari Bertemu Pelanggan ini telah disempurnakan oleh Tuan Shukri bin Mohamad Hamin, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam. Turut hadir, Encik Nik Aiman bin Nik Muhammad, Ketua Jabatan Perolehan dan Pegawai Integriti PKNS Real Estate Sdn Bhd, Ahli- Ahli Majlis serta Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.


hari bertemu pelanggan​​​​

​​​​​​​hari bertemu pelanggan

soccer kids
hari bertemu pelanggan