Majlis Bandaraya Shah Alam Sertai Misi Selangor Prihatin – Bantuan Kemanusian Mangsa Banjir Di Pulau Pinang

07 November  2017

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah menyertai ‘Misi Selangor Prihatin’ bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor mulai 6 November 2017 hingga 12 November 2017. 

Misi ini melibatkan seramai 23 kakitangan MBSA iaitu 20 orang dari Jabatan Penguatkuasaan dan 3 orang pemandu dari Jabatan Kejuruteraan. Misi ke Pulau Pinang ini diketuai oleh En. Mohd Azriq bin Yunus, Penolong Pegawai Penguatkuasa, Majlis Bandaraya Shah Alam. 

Dalam melaksanakan misi ini, pihak MBSA mendapatkan kerjasama daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang telah memberi taklimat dan arahan berhubung bantuan yang perlu dilaksanakan untuk membantu mangsa banjir di kawasan yang telah ditetapkan terutamanya di Kampung Kota Permatang Pasir, Taman Tengku Seberang Jaya, Taman Suria Aman Bukit Mertajam dan Kampung Belah Dua Permatang Pauh. 

Pihak MBSA bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor yang lain telah melakukan aktiviti pemotongan dan mengalihkan pokok-pokok tumbang yang telah menghalang laluan. 

Bagi melancarkan misi ini pihak Majlis turut membawa pelbagai keperluan sampingan seperti gergaji rantai, penjana kuasa elektrik, mata gergaji rantai, parang, tukul besi, mesin pengasah gergaji rantai serta kenderaan khas seperti kenderaan pancuan empat roda, Back Hoe (jengkaut) dan Lori tipper.