Majlis Bandaraya Shah Alam Anjur Seminar Pengawalan Nyamuk Di Tapak Pembinaan – Cegah Penularan Wabak Denggi Di Shah Alam

15 November  2017

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah menganjurkan Seminar Pengawalan Nyamuk Di Tapak Pembinaan 2017 pada 22 November 2017 (Rabu) bertempat di Dewan Bankuet, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melibatkan 100 orang peserta dikalangan pemaju dan kontraktor di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam. 

Seminar Pengawalan Nyamuk di Tapak Binaan ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pihak pemaju dan kontraktor berkaitan pengawalan dan pencegahan demam denggi di sekitar tapak pembinaan. 

Antara pengisian seminar ini adalah taklimat ‘Pengenalan Demam Denggi’ oleh wakil Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, ‘Tindakan Undang-Undang dan Pendakwaan’ oleh wakil Unit Pendakwaan dan Perundangan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) serta ‘Tanggungjawab Pihak Pemaju / Kontraktor Di Dalam Mencegah dan Mengawal’ Demam Denggi oleh wakil Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA. 

Pelaksanaan Seminar Pengawalan Nyamuk di Tapak Binaan ini diharapkan dapat memberi ruang dan peluang kepada para peserta untuk berkongsi pengalaman dan bertukar idea bagi mengatasi penularan demam denggi yang semakin meluas di bawah kawasan pentadbiran MBSA. 

Dari awal tahun sehingga 28/10/2017 sebanyak 5416 kes demam denggi telah dilaporkan di kawasan pentadbiran MBSA. Pada masa yang sama juga pihak MBSA telah mengadakan aktiviti pemeriksaan terhadap 15638 premis termasuk rumah kediaman, rumah kedai dan restoran, aktiviti semburan atau ‘fogging’ di 583611 premis dan mengeluarkan sebanyak 451 kompaun atas kesalahan membiak jentik-jentik Aedes. Selain itu, MBSA juga melaksanakan aktiviti pendidikan dengan mengedarkan sebanyak 74257 risalah dan 4836 poster berkenaan demam denggi. 

Pihak MBSA adalah amat komited untuk menangani masalah demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis dan pada masa yang sama menyeru agar warga Shah Alam dapat memastikan keadaan persekitaran kediaman masing-masing berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada pembiakan jentik-jentik Aedes. 

seminar​​​​

​​​​​​​seminar

seminar
seminar