Majlis Bandaraya Shah Alam Laksana Operasi Pecah Tanjakan Premis Salahguna Tempat Letak Kereta Tanpa Kebenaran 

16 November  2017

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengadakan Operasi Bersepadu Memecah Tanjakan (Ramp) pada 15 November 2017 bertempat di Jalan Nova N U5/N, Seksyen U5 dan 16 November 2017 bertempat di Jalan Musytari AM U5/AM, Seksyen U5 Shah Alam bertujuan untuk  mengesan dan menangani masalah pemilik premis perniagaan yang menyalahgunakan tempat letak kereta untuk tujuan perniagaan tanpa kebenaran pihak MBSA.  

Sebanyak 10 buah premis  telah dikenakan tindakan kompaun kerana membina tanjakan (ramp) tanpa kebenaran manakala 13 tanjakan (ramp) telah dipecahkan semasa operasi tersebut dijalankan.  Pihak MBSA menggunakan sebuah jentera ‘excavater’ untuk memecahkan tanjakan tersebut. Operasi ini melibatkan 20 orang kakitangan daripada Jabatan Kewangan, Jabatan Bangunan,  Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam.  
Penggunaan tempat letak kereta tanpa kebenaran untuk tujuan perniagaan merupakan satu kesalahan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133).  MBSA telah mengenalpasti 20 kategori perniagaan yang boleh memohon sewaan tempat letak kereta khas untuk tujuan perniagaan antaranya kedai membaiki kereta/motosikal, kedai menjual aksesori kereta/motosikal, kedai menjual perabot, klinik, ruang pameran kereta/motosikal, pasaraya/kedai runcit yang memerlukan ruang pemunggahan barang dan sebagainya.

MBSA memohon agar pemilik premis yang ingin menggunakan tempat letak kereta bagi tujuan perniagaan untuk membuat permohonan sewaan petak khas terlebih dahulu daripada pihak MBSA sebelum menggunakan tempat letak kereta tersebut untuk tujuan perniagaan. Tindakan tegas termasuk memecahkan tanjakan dan kompaun akan dikenakan kepada pemilik premis yang ingkar dan membina tanjakan haram dihadapan premis mereka.

Sebarang pertanyaan berkenaan sewaan petak letak kereta khas, sila hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55105133 sambungan 1477, 1657 dan 1658. Sehubungan dengan itu, Majlis memohon jasa baik Tuan/Puan untuk menyiarkan kenyataan ini untuk makluman orang ramai. Kerjasama Tuan/Puan untuk menyiarkan kenyataan ini amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih. Sebarang pertanyaan sila hubungi saya di talian 013-3380551.

tanjakan​​​​

​​​​​​​tanjakan