Taman Universiti, Jalan Kebun, Shah Alam Berjaya Mengungguli Tempat Pertama Kategori Terbuka Sempena Anugerah Hijau Zon Bersih Mini (Mini Zeebee) Antara Majlis Perwakilan Penduduk (Mpp) Zon Shah Alam Sesi 2016/2017

7 Disember 2017

Pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengadakan Majlis Penganugerahan Anugerah Hijau Zon Bersih Mini (Mini Zee Bee) Antara Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Shah Alam 2016/2017 pada 6 Disember 2017 (Rabu) bertempat di Hotel Concorde, Shah Alam.  

Pada pertandingan Zon Bersih Mini (Minizeebee) kali ini,  Taman Universiti, Jalan Kebun, Shah Alam telah berjaya mengungguli tempat pertama bagi  Kategori Terbuka di dalam Anugerah Hijau Zon Bersih Mini (Mini Zee Bee) Antara Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Shah Alam 2016/2017.  Penduduk di kawasan tersebut telah mengamalkan aktiviti seperti kebun komuniti, program dan kempen kebersihan, dekoratif lukisan mural, pemasangan CCTV, pengasingan minyak masak yang telah digunakan, dan projek-projek inisiatif hijau.  Melalui kejayaan ini,  penduduk di kawasan tersebut telah berjaya memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.

Bagi Kategori Pilihan MPP Taman Perumahan, Taman Setia Warisan, Seksyen U6, Shah Alam telah berjaya memenangi tempat pertama  dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM10,000. Penduduk di kawasan tersebut telah mengamalkan aktiviti seperti kebun komuniti, pusat kitar semula, kolam ikan, pusat belia dan sukan serta keindahan landskap. 

Johan bagi Kategori Pengerusi MPP Terbaik Mini ZeeBee telah berjaya dimenangi oleh Encik Imran B. Satiman,  Pengerusi MPP Zon 11. Beliau telah menerima plak beserta wang tunai sebanyak RM3,000. 
Pertandingan Zon Bersih Mini (Minizeebee) ini telah  mula diadakan pada tahun 2014 bertujuan untuk memupuk kesedaran terhadap kebersihan melalui penglibatan komuniti serta mempereratkan  perpaduan dan permuafakatan di kalangan masyarakat di kawasan pentadbiran MBSA.  Penganjuran pertandingan seumpama ini merupakan inisiatif pihak MBSA untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat khususnya warga kota Shah Alam akan pentingnya konsep pembangunan mampan sekaligus dapat berkongsi pengalaman sesama masyarakat berhubung aktiviti yang dilaksanakan di MPP masing-masing. 

Ini juga akan mengangkat MBSA sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang prihatin dan bertanggungjawab dalam memastikan program-program Local Agenda 21 (LA21) dan inisiatif hijau dapat diterapkan di kalangan masyarakat serta bersama-sama menjadikan Shah Alam Bandar Raya Rendah Karbon Menjelang 2030.

Penyertaan pada kali ini melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rukun Tetangga (RT) dan Persatuan Penduduk (RA) yang bernaung di bawah Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di bawah pentadbiran MBSA. Pertandingan ini telah diadakan mulai bulan Mei 2016 sehingga November  2017.

Pada tahun ini sebanyak 27 penyertaan telah diterima daripada 24 Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam.  Terdapat dua (2) kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Pilihan MPP Taman Perumahan sebanyak 12 persatuan, dan Kategori  Terbuka sebanyak 11 penyertaan (Kategori Terbuka adalah kategori yang mempertandingkan juara antara juara yang pernah memenangi anugerah-anugerah yang dipertandingkan sejak 2014).

Penjurian telah bermula pada 9 September sehingga 10 September 2017 melalui Konvensyen Anugerah Hijau Zon Bersih Mini (MiniZeebee) Antara MPP Shah Alam 2016/2017) dan lawatan ke lokasi Zon MPP yang mengambil bahagian pada 11 November hingga 19 November 2017.  Pertandingan ini telah diaudit oleh 8 orang juri yang terdiri daripada wakil-wakil dari agensi seperti :-

i. Jabatan Perancang Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia;
ii. Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor;
iii. Jabatan Pertanian Negeri Selangor;
iv. Jabatan Landskap Negara;
v. Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (SPBT) Unit Perancangan  Ekonomi Negeri Selangor (UPEN);
vi. Saujana Bidara Sdn Bhd
vii. Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal MBSA
viii. Jabatan Landskap MBSA

Kejayaan menganjurkan anugerah ini juga telah melayakkan pihak MBSA menggondol pelbagai anugerah yang dianjurkan oleh Kerajaan Persekutuan,  Kerajaan Negeri, dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGO).  Antara anugerah yang dimenangi adalah :
Anugerah Langkawi Peringkat Kebangsaan  2015/2016

ii) Malaysian Institut of Planners (MIP) Award Peringkat Kebangsaan 2014 & 2016
iii) Anugerah Sungai Angkat Peringkat Negeri Selangor 2016
iv) Anugerah Kampung Tradisi Terbaik Peringkat Daerah Klang 2017

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Hj. Ahmad Zaharin b. Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam. Turut hadir  Ahli-Ahli Majlis, Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA serta wakil-wakil Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam. 


taman U​​​​

​​​​​​​taman U

taman U
taman U
​​taman U