​​​Lawatan Turun Padang Datuk Bandar Shah Alam Menaiki Bas Elektrik Pertama Di Kawasan Shah Alam – Ke Arah Shah Alam Bandar Raya Rendah Karbon 2030

05 April 2017

Dato’ Haji Ahmad Zaharin b. Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam telah mengadakan lawatan turun padang dengan menaiki bas elektrik mengelilingi pusat bandar Shah Alam pada 5 April 2017 (Rabu). 

Sebanyak 2 unit bas elektrik telah disediakan oleh pihak Majlis untuk kegunaan orang awam. Penyediaan bas elektrik ini akan menggunakan laluan bermula di Hentian Akhir Bandar (HAB) Seksyen 19 dan melalui kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti Seksyen 2, Seksyen 3, dan Seksyen 7.

Bas elektrik yang boleh memuatkan kapasiti penumpang seramai 67 orang ini adalah bebas halangan dan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU), tempat khas keutamaan untuk OKU dan peralatan keselamatan untuk OKU  serta pelbagai kemudahan lain seperti panel LED dan juga Wifi percuma. Bas elektrik ini beroperasi pada setiap hari iaitu Isnin hingga Ahad dari jam 6.00 pagi sehingga 10.00 malam dengan kekerapan setiap 15 minit. 

Perkhidmatan bas elektrik ini adalah selaras dengan usaha pihak Majlis untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma yang mesra alam sekaligus merealisasikan matlamat Shah Alam Bandar Raya Rendah Karbon menjelang tahun 2030.  Bagi tahun 2017, pihak Majlis menyasarkan pengurangan pelepasan gas karbon sebanyak 3% berdasarkan penanda aras pada tahun 2015 iaitu sebanyak 31, 914. 54 tan karbon. 

​Penyediaan bas elektrik  ini juga bertujuan untuk memberikan perkhidmatan pengangkutan secara percuma sekaligus membantu menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti pelajar sekolah, pelajar institut pengajian tinggi (IPT), pekerja industri, suri rumah dan warga emas. 

Selain dapat meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan, perkhidmatan ini juga dapat membantu mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian yang boleh menyebabkan kesesakan lalulintas dan pencemaran alam sekitar.

Pihak Majlis juga telah melancarkan EV Charger (Pengecas Elektrik) Kenderaan yang dipasang di tempat letak kereta Bangunan Wisma MBSA, pejabat cawangan MBSA di Kota Kemuning, Setia Alam dan beberapa kawasan lain di sekitar pusat bandar Shah Alam. EV Charger (Pengecas Elektrik) ini boleh digunakan secara percuma  oleh pemilik-peilik kenderaan elektrik.

Pihak Majlis berharap penyediaan bas elektrik ini dapat membantu mengurangkan kadar pelepasan karbon di Shah Alam selain dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan. 


tong sampah 

​​​​tong sampah

tong sampah                    ​​tong sampah​​​
tong sampah ​​​​