Majlis Bandaraya Shah Alam Anjur Majlis Pelancaran Imej Baru Lori Kompaktor Kutipan Sisa Domestik 2017 - Penjenamaan Semula Imej Perkhidmatan Kutipan Sampah MBSA

13 April 2017

Majlis Bandaraya Shah Alam telah menganjurkan Majlis Pelancaran Imej Baru Lori Kompaktor Kutipan Sisa Domestik 2017 pada 13 April 2017 (Khamis) bertempat di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 Shah Alam. Program ini melibatkan 27 buah kompaktor bagi mewakili 27 zon kutipan sisa domestik di bawah pentadbiran Majlis. Sebanyak 26 kompaktor adalah dari  kontraktor kutipan sisa domestik lantikan MBSA dan 1 zon merupakan ‘inhouse’ MBSA yang menjalankan kutipan sisa domestik di kawasan Seksyen 10,11 dan 12, Shah Alam. 

Program ini merupakan inisiatif pihak MBSA untuk menambahbaik perkhidmatan kutipan sampah sisa domestik di kawasan pentadbiran MBSA bagi tahun 2017. Penjenamaan semula imej perkhidmatan kutipan sampah MBSA ini melibatkan lori kompaktor yang dilengkapi dengan sistem AVLS, lori kompaktor di cat dengan warna koporat MBSA iaitu Biru Putih dan memasang pelekat yang membawa imej majlis, meletakkan maklumat syarikat yang menjalankan kerja kutipan dan zon kerja bagi memudahkan masyarakat mengenalpasti kontraktor yang berkhidmat di kawasan mereka, serta memberikan pakaian seragam bercirikan keselamatan kepada pekerja/krew seperti mempunyai pantulan cahaya, kasut, but keselamatan dan sebagainya.

Selain itu,  pihak MBSA juga mengenakan syarat-syarat yang lebih ketat terhadap kontraktor-kontraktor yang telah dilantik  bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah berkualiti serta mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pihak MBSA. 

​Inisiatif ini merupakan komitmen berterusan pihak MBSA untuk memberikan perkhidmatan kutipan sampah sisa domestik yang lebih baik dan berkualiti kepada warga Shah Alam.  Semua jenis premis di bawah kawasan pentadbiran MBSA turut diberikan perkhidmatan kutipan sampah kecuali kompleks membeli belah. 

Bagi melancarkan dan memperkemaskan sistem pengurusan dan kutipan sampah domestik,  pihak MBSA juga akan memberikan tong MGB  berkapasiti 120L kepada semua premis kediaman jenis teres (landed).  
Tujuan pemberian tong MGB ini adalah untuk menyeragamkan tong sampah di seluruh Shah Alam.  Ini sekaligus dilihat dapat memperkemaskan cara pembuangan sampah oleh masyarakat setempat dan memudahkan kerja kutipan sampah oleh pihak kontraktor. 

Penjenamaan imej baru lori kompaktor ini juga akan membawa mesej-mesej melalui pelekat yang ditampal iaitu ‘Shah Alam Bandar Raya Anggerik’, ‘Shah Alam Ke Arah Bandar Raya Zero Waste’ dan juga ‘Amalan Kitar Semula Dalam Kehidupan Masyarakat / Warga Shah Alam ‘. 
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ahmad Zaharin b. Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam. Turut hadir,  Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.

tong sampah 

​​​​tong sampah

tong sampah                   tong sampah​​​
​​ ​​​​