Majlis Bandaraya Shah Alam Serah 1790 Permit Bazar Ramadan 1438H/2017 – Ke Arah Shah Alam Bebas Polistirena 2017

18 Mei 2017

Pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengeluarkan 1790 permit bazar Ramadan kepada para penjaja yang akan berniaga sepanjang bulan Ramadhan pada tahun ini di bawah kawasan pentadbiran pihak Majlis.  Pengeluaran borang bazar Ramadhan telah diadakan mulai 21 Februari  hingga 3 Mac 2017. 

Bagi memastikan para penjaja mematuhi syarat dan peraturan semasa menjalankan perniagaan,  pihak Majlis mengadakan sesi taklimat bazar Ramadan mulai 15 Mei hingga 18 Mei 2017.  Selain daripada taklimat mengenai pengurusan peniaga yang berhemah, turut diadakan aktiviti ceramah berunsur kerohanian bertajuk “Tanggungjawab Peniaga Berniaga di Bulan Ramadan” yang disampaikan oleh Ustaz Suhaili bin Sehat, Ustaz Zulkifli bin Ahmed dan Ustaz Ahmad Dusuki bin Abdul Rani.  Selain itu majlis turut menjemput Institut Integriti Malaysia (IIM) untuk menyampaikan taklimat kepada para peniaga. 

Mulai tahun 2017, pihak Majlis telah melaksanakan Kempen Pengurangan Penggunaan Beg Plastik di Shah Alam. Kempen ini diadakan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya para peniaga supaya mengurangkan penggunaan beg plastik dalam urusan harian kerana memberi kesan buruk kepada individu dan juga alam sekitar. 

Sejajar dengan arahan Kerajaan Negeri Selangor, pihak Majlis telah mengambil inisiatif untuk mengedarkan bunting dan poster kempen pengurangan beg plastik dan bebas polistirena serta mengeluarkan pekeliling kepada semua premis perniagaan di bawah pentadbiran MBSA.

Sebanyak 35 lokasi tapak bazar Ramadhan telah dikenalpasti di kawasan pentadbiran MBSA. Lokasi tapak bazar yang disediakan oleh pihak Majlis adalah di Seksyen  6, 7, 8, 14, 16, 18,  25, 27, 28, 30, 31, 32, 33, 35, U2, U3,  U5, U8, U10, U13, U16, U19, dan U20 (tapak tiada undi) dan Seksyen 7, 13, 17, 18, 19, 20, 24 dan U3 (tapak undi). 

Pihak Majlis mengenakan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh setiap pemohon,  antaranya pemohon haruslah warganegara Malaysia, berumur 18 ke atas. Selain itu pemohon juga perlu mematuhi syarat kesihatan antaranya memakai apron, topi dan kasut semasa menjalankan perniagaan. Para peniaga dan pembantu juga diwajibkan untuk mendapatkan suntikan anti-typhoid (TY2).  Peniaga juga hanya dibenarkan berniaga di tempat yang diluluskan sahaja dan diminta menjaga kebersihan di kawasan tapak berniaga atau tindakan kompaun akan dikenakan jika peniaga meninggalkan tapak dalam keadaan yang kotor dan tidak dikemaskan. 

Kadar bayaran permit bagi jenis jualan makanan dan minuman bagi tapak Majlis adalah di antara RM257.00  hingga RM347.00 mengikut kategori berbakar dan tidak berbakar.  Manakala bagi tapak persatuan / swasta, kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM167.00. Taklimat bazar Ramadan  ini juga turut mendapat kerjasama dan disertai oleh  syarikat-syarikat pengeluar makanan seperti produk Adabi, Unilever, Nestle, Indomee dan Mamee. 

Majlis penyerahan permit telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Ahmad Zaharin b. Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam. Turut hadir bersama, Ahli - Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.


bpr 

​​​​bpr

bprbpr
​ ​​bpr
    ​​​​​​​