Majlis Bandaraya Shah Alam Anjur Karnival Sihat Rakyat – Didik Masyarakat Ke Arah Gaya Hidup Sihat 

21 Mei 2017

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 3 telah mengadakan Karnival Sihat Rakyat bertempat di Seksyen 7,  Shah Alam. 

Penganjuran program ini bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang mengutamakan gaya hidup sihat, di samping memberi pendidikan dan pendedahan berhubung kepentingan menjaga kebersihan untuk mengurangkan kes demam denggi.
Pelbagai acara telah diadakan iaitu acara larian,  taklimat mengenai demam denggi serta Program SEDA-10  MPP, demonstrasi membuat Ovitrap menggunakan barang terpakai dan pelbagai lagi acara menarik kepada pengunjung. 
Selain itu,  pihak MBSA juga telah melancarkan bas pameran SEDA-10 Information Centre (I.C) untuk memperhebatkan aktiviti promosi program-program SEDA-10 khususnya penjagaan kesihatan persekitaran kepada komuniti Shah Alam. Pihak MBSA merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Selangor yang mempunyai bas pameran ini di mana ia  mengandungi pelbagai maklumat dan interaktif terkini mengenai pendidikan, kawalan dan pencegahan serta penguatkuasaan kesihatan persekitaran.

Pihak MBSA juga telah mengambil langkah proaktif bagi menangani wabak denggi di Pangsapuri Seksyen 7 ini dengan melaksanakan pelepasan  Nyamuk Aedes Berwolbachia  sebanyak 25,200 ribu ekor pada 13 Mei 2017 dan 23,500 ribu ekor pada 19 Mei 2017 . Program WOLBACHIA ini adalah hasil kajian daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan menggunakan bakteria semulajadi yang terdapat pada serangga seperti lalat buah, rama-rama dan nyamuk kecuali nyamuk Aedes dan dimasukkan ke dalam telur nyamuk Aedes dimakmal untuk tujuan menjadi nyamuk Aedes BerWolbachia. 

Ia dilepaskan di lapangan untuk tujuan mengawan dengan nyamuk Aedes liar. Nyamuk Aedes BerWolbachia ini tidak mendatangkan mudarat kepada manusia dan dapat memusnahkan generasi nyamuk Aedes dikawasan tersebut di mana telur yang dihasilkan tidak menetas serta jangka hayat nyamuk adalah pendek. 

Pihak MBSA juga telah memperkenalkan Unit Tindakan Denggi (UTD) iaitu unit yang ditubuhkan khas bagi kawasan yang mempunyai tempoh masa wabak melebihi 100 hari atau kes melebihi 100 kes.  Unit ini akan ditetapkan di kawasan tersebut bagi menjalankan aktiviti kawalan dan penyelesaian masalah secara berterusan sehingga tamat wabak. 

Pada masa yang sama pihak MBSA menyeru agar warga Shah Alam dapat memastikan keadaan persekitaran kediaman masing-masing berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada pembiakan jentik-jentik Aedes. Pihak Majlis akan bertindak tegas dengan mengeluarkan kompaun terhadap premis yang didapati membiak jentik-jentik Aedes di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). 

Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh YB Puan Dr.Daroyah binti Alwi, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor. Turut hadir, YBhg. Dato’ Ahmad Zaharin b. Mohd Saad,  Datuk Bandar Shah Alam, Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah MBSA. 


trees for life 

​​​​​trees for life

trees for lifetrees for life
​​​bazartrees for life
​​​​​​​
​​