Datuk Bandar Shah Alam Serah Cenderahati Kepada Ibu Dan Bayi Sempena Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-17 

10 Oktober 2017

Adalah dimaklumkan Sempena Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-17,  YBhg. Dato’ Ahmad Zaharin b. Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam telah mengadakan kunjungan ke Hospital Shah Alam untuk meraikan Ibu dan juga bayi yang dilahirkan pada  tarikh 10 Oktober 2017.

Kunjungan tersebut amat bermakna sebagai tanda kesyukuran bagi meraikan kelahiran bayi pada tarikh 10 Oktober 2017.  10 Oktober merupakan tarikh yang amat bermakna kepada pihak Majlis kerana pada tarikh 10 Oktober 2000 iaitu 17 tahun yang lalu,  Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah dinaiktaraf daripada Majlis Perbandaran kepada Majlis Bandaraya.

Dalam kunjungan tersebut,  pihak Majlis telah menyumbangkan cenderahati berupa kelengkapan bayi,  hamper dan juga sijil kepada bayi yang lahir pada tarikh berkenaan. Pada tahun ini, pihak MBSA turut menyerahkan cenderahati kepada kanak-kanak di Wad Pediatrik, Hospital Shah Alam. Penyerahan telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ahmad Zaharin b. Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam.  Turut serta Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Shah Alam, Dr. Hajjah Norhayati Ibrahim,  Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA. 

Kunjungan ke Hospital Shah Alam  ini merupakan  salah satu aktiviti Sempena Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Shah Alam Ke-17. Antara pengisian aktiviti sepanjang bulan Oktober adalah Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat, Karnival Soccerkids Shah Alam 2017, Festival Laman Seni, Hari Bertemu Pelanggan, Majlis Forum Perdana Ehwal Islam, Pertandingan Memancing dan sebagainya.

Selain itu,  pelbagai insentif turut ditawarkan kepada orang ramai khususnya kepada warga Shah Alam seperti masuk percuma ke Pusat Akuatik Shah Alam (8 Oktober 2017), Tempat Letak Kereta Percuma di Bangunan Wisma MBSA dan Tempat Letak Kereta Hub Stesyen Komuter Seksyen 19 (10 Oktober 2017),  penyewaan Gelanggang Futsal percuma (10 Oktober 2017), penyewaan Padang C di Dataran Kemerdekaan Shah Alam percuma (10 Oktober 2017), dan Promosi Pembayaran Kompaun MBSA (sepanjang bulan Oktober).



bayi​​​​

​​​​​​​bayi

bayi
car free day