Kempen  Masjid & Surau Lestari (Go Green) Di Kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam Sempena Bulan Ramadhan 1437H/2016

15 Mei 2016

Adalah dimaklumkan,  pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengadakan Majlis Pelancaran Kempen Masjid & Surau Lestari (Go Green) pada 15 Mei 2016 (Ahad) di Masjid Tengku Ampuan Jemaah,  Bukit Jelutong.

Kempen Masjid & Surau Lestari (Go Green) ini bertujuan untuk memupuk amalan kitar semula sisa buangan bahan dapur dan sisa makanan kepada bahan yang lebih berfaedah di kalangan penduduk Shah Alam khususnya Jawatankuasa Masjid dan Surau di sepanjang Bulan Ramadhan.  Kempen ini juga dilaksanakan bagi menggalakkan komuniti Shah Alam ke arah pengurangan penggunaan bekas makanan daripada polisterin serta bahan yang tidak mesra alam. ​

Diantara pengisian program kempen ini adalah Sesi Taklimat Pengurusan Sisa Pepejal, Taklimat Amalan Hijau dan Taklimat Masjid Lestari Agenda Imarah Amanah Khalifah.  Sesi taklimat ini akan diadakan dengan kerjasama daripada pihak JAIS dan MAIS serta MBSA di bawah Program LA21 Shah Alam. Selain itu,  urus setia juga telah menyerahkan risalah dan bahan kempen kepada para peserta untuk kegunaan disepanjang perlaksanaan kempen ini.  Peserta turut ditunjukkan dengan sesi demonstrasi dan di bawa melawat ke kawasan-kawasan yang telah sedia mengamalkan amalan kitar semula sisa buangan bahan dapur dan sisa makanan.

Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan kempen ini,  pihak MBSA  memberi fokus kepada 7 teras iaitu menerapkan amalan 3R (Reduce, Reusa & Recycle), Kesedaran Tentang Penjimatan Penggunaan Air,  Penjimatan Elektrik, Amalan Eco-5S, Membantu Memelihara Alam Sekitar, Bertukar Kepada ECO Menu@Menu Sihat Dan Mengamalkan Gaya Hidup Lestari. 

Program ini juga merupakan inisiatif pihak MBSA untuk menjadi contoh bagi Jawatankuasa Masjid dan Surau ke arah perlaksanaan Inisiatif Hijau selaras dengan pelan tindakan Alam Sekitar :  Meningkatkan Sistem Pengurusan Sisa Pepejal yang Terancang dan Berkesan.

Pihak MBSA menyasarkan agar  kempen ini dapat dijadikan sebagai amalan berterusan oleh komuniti Shah Alam bukan sahaja di sepanjang Bulan Ramadhan. Ia diharapkan dapat meningkatkan kefahaman dan penghayatan di kalangan komuniti untuk turut serta melaksanakan program LA21 Shah Alam.  Kempen ini juga membantu meningkatkan pengetahuan penduduk mengenai amalan-amalan hijau dan mengeratkan hubungan di antara pihak Majlis,  NGO dan warga Shah Alam.

Majlis Pelancaran Kempen Masjid & Surau Lestari (Go Green)  ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ahmad Zaharin b. Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam.  Turut hadir  Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.​
​​ ​
​ ​​​Para peserta Majlis Pelancaran Kempen Masjid & Surau Lestari (Go Green)
​​​
​ ​​
​​ ​​Pemberian cenderahati kepada WAKIL-Wakil Masjid dan Surau Daerah Petaling oleh YBhg. Dato’ Ahmad Zaharin b. Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam.