Majlis Bandaraya Shah Alam Anjur Kempen Selamat Balik Kampung 2016 – Edar 450 Topi Keledar Percuma Kepada Penunggang Motorsikal 

30 Jun 2016

​Menjelang musim perayaan yang bakal tiba,  Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)  melaksanakan Kempen Selamat Balik Kampung 2016 dengan memberi topi keledar (helmet) secara percuma kepada penunggang motorsikal di sekitar Shah Alam.  Pada tahun ini,  Kempen Selamat Balik Kampung 2016 telah diadakan di perhentian bas,  Persiaran Jubli Perak,  Seksyen 17 Shah Alam. 

Sebanyak 400 unit topi keledar dewasa dan 50 unit topi keledar kanak-kanak telah diberikan secara percuma kepada orang ramai sumbangan daripada pihak SIRIM QAS International Sdn. Bhd.   Topi keledar yang disediakan ini juga menepati ciri-ciri keselamatan yang telah diluluskan oleh pihak  SIRIM QAS International Sdn. Bhd. Pihak Majlis turut memberikan secara percuma 550 baju pemantul cahaya (reflector) kepada penunggang motorsikal. 

Kempen yang telah dilaksanakan sejak tahun 2010 ini merupakan komitmen berterusan oleh pihak MBSA bagi menggalakkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung sempena musim perayaan agar mementingkan keselamatan jalan raya terutamanya penunggang motorsikal yang sering menjadi mangsa kemalangan jalan raya.

Selain itu,  kempen ini juga bertujuan untuk mendidik masyarakat mengenai penjagaan keselamatan di jalan raya dan memberi pendedahan kepada penunggang motorsikal khususnya terhadap kepentingan penggunaan topi keledar. Kempen ini turut memastikan penunggang/pembonceng motorsikal menggunakan topi keledar yang disahkan mengikut piawian yang telah ditetapkan dan cara pemakaian topi keledar yang betul. Melalui kempen ini, topi keledar akan diedarkan kepada orang ramai dengan menggunakan konsep pertukaran topi keledar lama yang tidak menepati spesifikasi keselamatan kepada topi keledar baru.

Kempen Balik Kampung 2016 ini menyasarkan penduduk di sekitar Shah Alam terutamanya remaja dan pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta.  Buku panduan serta risalah kempen keselamatan jalanraya turut diedarkan kepada para penunggang/pembonceng motorsikal.  

Pelaksanaan kempen ini diharap dapat  memberi kesedaran kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati terutamanya penunggang motorsikal bagi mengelakkan kemalangan jalan raya. 
Majlis penyerahan topi keledar ini  disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Ahmad Zaharin Mohd. Saad,  Datuk Bandar Shah Alam. Turut serta pada majlis ini  Puan Khalidah Mustafa , Pengarah Urusan SIRIM QAS International Sdn. Bhd,  Ahli-Ahli Majlis, Pengarah-Pengarah Jabatan, MBSA serta kakitangan MBSA.

​​​kempen1kempen
kempenkempen
kempenkempen