Majlis Bandaraya Shah Alam Laksana I-Blacklist Dengan Kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan – Senarai Hitam Orang Kena Kompaun (OKK) Kesalahan Lalu Lintas Dan Trafik

02 Februari 2016

Adalah dimaklumkan bahawa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah melaksanakan proses menyenarai hitam pesalah tempat letak kenderaan yang gagal menjelaskan kompaun bagi sekatan ke atas pembaharuan cukai  jalan melalui Sistem I-Blacklist yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pelaksanaan Sistem I-Blacklist merupakan sekatan untuk memperbaharui cukai jalan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap Orang Kena Kompaun (OKK) yang mempunyai rekod kesalahan tidak meletak kenderaan di tempat letak kenderaan yang disediakan oleh MBSA mengikut Undang-Undang Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MBSA.

Pada tahun 2015,  sebanyak 75 kes telah disenarai-hitam dan 57 kes Waran Tangkap telah dilaksanakan ke atas Orang Kena Kompaun (OKK).  Sehingga Disember 2015,  sebanyak 1,484 kes telah didaftarkan ke mahkamah untuk tujuan pendakwaan.  Jumlah kompaun Tempat Letak Kereta yang masih belum berbayar sehingga Disember 2015 melibatkan 279,229 keping kompaun iaitu berjumlah  RM27,897,710.00.  Manakala kutipan kompaun sepanjang 2015 adalah sebanyak RM2,232,907.22.  Orang Kena Kompaun (OKK) boleh melayari laman sesawang Majlis untuk semakan kompaun.​

Sehubungan itu, pihak Majlis menyeru orang ramai menjelaskan semua tunggakan kompaun tempat letak kenderaan bagi mengelakkan daripada  disenarai hitamkan di bawah Sistem I-Blacklist.  

Majlis telah mempelbagaikan saluran pembayaran kompaun seperti di Kaunter Utama  Wisma MBSA Persiaran Perbandaran Seksyen 14, Shah Alam, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning,  Pejabat Cawangan Setia Alam,  kaunter Bank Muamalat, Maybank2U dan Wang Pos. MBSA turut menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak ‘Shah Alam On Wheel’ (SAOW) setiap hari Sabtu pada masa, tempat dan tarikh yang ditetapkan.