Majlis Bandaraya Shah Alam Laksana Operasi Tunda Kenderaan - Kesan Kenderaan Yang Memiliki Lebih 10 Kompaun Atas Kesalahan Tempat Letak Kereta (TLK)

03 Februari 2016

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah melaksanakan Operasi Tunda terhadap kenderaan yang memiliki lebih daripada 10 kompaun atas kesalahan tempat letak kereta.  Operasi ini mulai dilaksanakan pada bulan November 2015 bertujuan memberikan kesedaran kepada pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan oleh MBSA serta bagi memastikan Orang Kena Kompaun (OKK) untuk melangsaikan tunggakkan kompaun yang dikenakan terhadap kenderaan milik mereka.

Sebelum tindakan penundaan kenderaan diambil, pihak MBSA akan menampal stiker pada kenderaan yang telah dikenal pasti mempunyai tunggakkan lebih daripada 10 kompaun letak kereta bagi mengingatkan pemilik kenderaan supaya menjelaskan tunggakkan kompaun tersebut.  Sekiranya Orang Kena Kompaun (OKK)  gagal menjelaskan bayaran,  kenderaan akan ditunda mengikut prosedur yang ditetapkan.  Sehingga Januari 2016,  53 buah kenderaan telah ditunda dan sebanyak RM49,001.40 berjaya dikutip.
  
Pihak MBSA juga sentiasa mengambil pendekatan untuk memudahkan Orang Kena Kompaun (OKK) menjelaskan kompaun masing-masing dengan menyediakan perkhidmatan pejabat bergerak ‘Shah Alam On Wheel’ di mana pemilik kenderaan yang dikompaun boleh mendapatkan bayaran RM15 sahaja.
 
Pihak Majlis menasihatkan agar orang ramai yang mempunyai tunggakan kompaun atau kesalahan tempat letak kereta agar mengambil serius terhadap pelaksanaan operasi tunda yang akan dilaksanakan ini untuk menjelaskan tunggakan kompaun masing-masing. Pertanyaan berkenaan operasi tunda kenderaan ini sila hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan, MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1477, 1657, dan 1658.