Majlis Bandaraya Shah Alam Anjur Pameran Orkid Asean Shah Alam 2016 – Pamer Koleksi Orkid Dalam Dan Luar Negara

18 Mei 2016

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Kelab Anggerik Shah Alam Selangor (KASAS) telah menganjurkan Pameran Orkid Asean Shah Alam 2016 mulai 18 Mei hingga 22 Mei 2016 bertempat di Laman Budaya, Taman Tasik Shah Alam. Pameran ini mempamerkan pelbagai spesis orkid dalam dan luar negara.  Istimewanya,  pameran ini turut menarik penyertaan dari negara luar seperti Singapura, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Pelbagai tarikan disediakan di Program Orkid Asean Shah Alam ini seperti  48 kategori pertandingan orkid tempatan dan antarabangsa yang dikendalikan oleh Malaysian Orchid Society dan Kelab Anggerik Shah Alam,   Pameran Setem, Demonstrasi Hiasan Orkid,  Pertandingan Melukis dan Mewarna peringkat sekolah-sekolah di Shah Alam,  ‘Orchid Painting’ oleh pihak UiTM,  mencanting Batik Orkid serta jualan Orkid,  Batik dan Lukisan Orkid.  Kerjasama turut diterima daripada Persatuan Anggerik Malaysia, Orchid Growth Association of Malaysia dan Jabatan Pertanian Malaysia.

Program ini merupakan komitmen berterusan pihak MBSA untuk menghijaukan landskap bandar raya Shah Alam melalui pameran orkid yang juga merupakan bunga rasmi kepada bandar raya Shah Alam. Aktiviti mempromosikan orkid telah giat dijalankan oleh pihak MBSA dengan menganjurkan Festival Anggerik Shah Alam sejak 20 tahun yang lepas. 

Pameran ini juga diharapkan menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negara serta boleh meletakkan Shah Alam di peta pelancongan.

Melalui pameran seumpama ini, orang ramai secara tidak langsung dapat mengenali pelbagai jenis pokok orkid mengikut spesis serta menggalakkan sikap cintakan alam sekitar.  Pihak Majlis turut berharap melalui aktiviti dan program yang dilaksanakan ini dapat memperkenalkan produk tempatan dan menggalakkan penduduk di sekitar Shah Alam terutamanya untuk menanam pokok bagi menghijaukan suasana alam sekitar di kediaman masing-masing. 

Majlis perasmian Pameran Orkid Asean Shah Alam 2016 telah disempurnakan oleh Y.B. Tuan Dr. Haji Yaakob bin Sapari, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik. Turut hadir Encik Shukri bin Mohamad Hamin , Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Ahli - Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.

​​ ​
​​ ​Y.B. Tuan Dr. Haji Yaakob bin Sapari, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik menyampaikan hadiah kepada pemenang Kategori Pokok Terbaik Keseluruhan
​​ ​
​ ​Majlis Pelancaran Pameran Orkid Asean Shah Alam 2016 oleh  Y.B. Tuan Dr. Haji Yaakob bin Sapari, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik diiringi Timbalan Datuk Bandar MBSA,  Encik Shukri bin Mohamad Hamin
​​ ​
​ ​​Y.B. Tuan Dr. Haji Yaakob bin Sapari, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik diiringi Timbalan Datuk Bandar MBSA,  Encik Shukri bin Mohamad Hamin tidak melepaskan peluang untuk turut serta melihat Pameran Orkid Asean Shah Alam 2016