Majlis Bandaraya Shah Alam Laksana Operasi Pecah Tanjakan Kesan Premis Salahguna Tempat Letak Kereta Tanpa Kebenaran
 
1 Ogos 2016

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengadakan Operasi Bersepadu Memecah Tanjakan (Ramp) pada 27 dan 28 Julai 2016 bertempat di Seksyen 23,  Shah Alam bertujuan untuk  mengesan dan menangani masalah pemilik premis perniagaan yang menyalahgunakan tempat letak kereta untuk tujuan perniagaan tanpa kebenaran pihak MBSA.  
10 buah premis  telah dikenakan tindakan kerana membina tanjakan (ramp) tanpa kebenaran dan 17 tanjakan (ramp) telah dipecahkan semasa operasi tersebut diadakan. Pihak MBSA menggunakan sebuah jentera ‘excavater’ untuk menanggalkan tanjakan tersebut. Operasi ini melibatkan 15 orang kakitangan daripada Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kejuruteraan, dan Jabatan Penguatkuasaan.  

Penggunaan tempat letak kereta tanpa kebenaran untuk tujuan perniagaan merupakan satu kesalahan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133). MBSA telah mengenalpasti 20 kategori perniagaan yang boleh memohon sewaan tempat letak kereta khas untuk tujuan perniagaan antaranya kedai membaiki kereta/motosikal, kedai menjual aksesori kereta/motosikal, kedai menjual perabot, klinik, ruang pameran kereta/motosikal, pasaraya/kedai runcit yang memerlukan ruang pemunggahan barang dan sebagainya.

MBSA memohon agar pemilik premis yang ingin menggunakan tempat letak kereta bagi tujuan perniagaan untuk membuat permohonan sewaan petak khas terlebih dahulu daripada pihak MBSA sebelum menggunakan tempat letak kereta tersebut untuk tujuan perniagaan. Tindakan tegas termasuk memecahkan tanjakan dan kompaun akan dikenakan kepada pemilik premis yang ingkar dan membina tanjakan haram dihadapan premis mereka.
Sebarang pertanyaan berkenaan sewaan petak letak kereta khas, sila hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55105133 sambungan 1477, 1657 dan 1658. ​