PEMBAYARAN CUKAI TAKSIRAN PENGGAL KEDUA TAHUN 2017 - MAJLIS BANDARAYA SHAH ALAM GESA PEMILIK HARTA LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB BAYAR CUKAI TAKSIRAN UNTUK MEMPERTINGKATKAN LAGI KESELESAAN, KEBERSIHAN DAN KESEJAHTERAAN MASYARAKAT​


Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ingin menyeru kepada pemegang-pemegang harta di kawasan pentadbiran MBSA supaya dapat menunaikan tanggungjawab untuk menjelaskan cukai taksiran bagi penggal kedua sebelum atau pada tarikh 31 Ogos 2017 untuk mengelakkan tindakan di ambil terhadap mereka yang engkar untuk melunaskan bayaran cukai taksiran masing-masing.

MBSA menganggarkan akan mengutip sejumlah RM 133,271,090.03 hasil cukai taksiran semasa bagi penggal kedua tahun 2017 yang merangkumi sejumlah 246, 072 pegangan harta di seluruh kawasan pentadbiran MBSA.

Bagi memudahkan pemegang harta menjelaskan cukai taksiran, pihak MBSA telah menyediakan 44 saluran pembayaran antaranya pembayaran di Kaunter Utama, Wisma MBSA dan juga Pejabat Cawangan MBSA di Kota Kemuning, Sungai Buloh dan Setia Alam. Pemegang harta juga boleh menjelaskan bil cukai taksiran mereka di semua kaunter Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor dengan secara tunai sahaja. Selain itu, pemegang harta juga boleh menjelaskan bil cukai taksiran di pusat agensi setempat seperti Pejabat Pos (kawasan Selangor/Kuala Lumpur/Putrajaya) pada atau sebelum tarikh 31 Ogos 2017.

Bil cukai taksiran juga boleh dijelaskan di semua cawangan Bank Simpanan Nasional, Ambank dan Bank Muamalat (secara tunai sahaja) manakala pembayaran di Agro Bank, Affin Bank, Bank Islam dan EON Bank boleh dijelaskan secara tunai atau cek.

Pemilik-pemilik harta juga boleh membuat pembayaran menggunakan cek, wang pos, kad kredit dan charge card seperti Master Kad, Visa, American Express dan juga Dinners Club.

Pihak MBSA juga menyediakan perkhidmatan semakan dan bayaran baki cukai taksiran secara on-line melalui eps.mbsa.gov.my.

Selain itu, saluran bayaran baharu melalui JomPAY juga telah diperkenalkan. Pembayar hanya perlu memasukkan biller code: 7567, nombor akaun baharu pada Ref-1 dan nombor telefon pada Ref-2 seterusnya memasukkan jumlah bayaran.

MBSA ingin mengingatkan semua pemilik harta supaya dapat menunaikan tanggungjawab dengan menjelaskan cukai taksiran masing-masing kerana ini dapat membantu pihak MBSA untuk menguruskan kutipan sampah domestik, pembersihan kawasan dan menyelenggara infrastruktur awam seperti jalan, lampu jalan, longkang serta membina lebih banyak taman-taman awam dan taman permainan.

Melalui kutipan cukai taksiran ini juga dapat membantu MBSA untuk menguruskan bandar raya Shah Alam dengan lebih cekap dan efisyen sekaligus dapat memberi keselesaan, kesejahteraan dan keharmonian hidup masyarakat khususnya yang bermastautin di bandar raya Shah Alam. 

​Sebarang pertanyaan berhubung cukai taksiran sila hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA, di talian terus 03-5522 2881/2882 atau email ke cukai@mbsa.gov.my.