​​Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Laksana Pemeriksaan Pembiakan Aedes Di Tapak Pembinaan – Ambil Langkah Proaktif Menangani Denggi Di Kawasan Pentadbiran Majlis

31 Mei 2016

Adalah dimaklumkan, dalam usaha untuk memerangi demam denggi pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah melaksanakan pemeriksaan pembiakan Aedes di tapak pembinaan di sekitar kawasan Seksyen 17 dan Seksyen 22,  Shah Alam.  Operasi ini selaras dengan tindakan bersepadu yang dilaksanakan di seluruh negeri Selangor untuk memeriksa kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan jentik-jentik Aedes.

Sebanyak 4 kompaun telah dikeluarkan dan 2 tapak pembinaan diberi notis penutupan sementara oleh pihak Majlis bagi kerja-kerja pembersihan dan kawalan pembiakan jentik-jentik Aedes. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) amat proaktif untuk menangani masalah demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis dan pada masa yang sama menyeru agar warga Shah Alam dapat memastikan keadaan persekitaran kediaman masing-masing berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada pembiakan jentik-jentik Aedes. Pihak Majlis akan bertindak tegas dengan mengeluarkan kompaun terhadap premis yang didapati bersalah atas kesalahan membiak jentik-jentik Aedes di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). 

Dari awal tahun sehingga 21 Mei 2016, pihak MBSA telah mengadakan aktiviti kawalan demam denggi dengan membuat pemeriksaan terhadap 10840 premis di sekitar Shah Alam termasuk rumah kediaman, rumah kedai dan restoran, aktiviti semburan atau ‘fogging’ di 341, 404 premis dan mengeluarkan sebanyak 256 kompaun atas kesalahan membiak jentik-jentik Aedes. Selain itu, MBSA juga melaksanakan aktiviti pendidikan dengan mengedarkan sebanyak 32, 077 risalah dan 2086 poster berkenaan demam denggi.  

​​Antara langkah-langkah kebersihan yang boleh diambil bagi mencegah pembiakan jentik-jentik Aedes adalah:-
  • Tutup semua bekas tempat penyimpanan air bersih seperti tempayan, kolah mandi, besin dan tempat-tempat yang berpotensi sebagai tempat pembiakan jentik-jentik;
  • Salin air dan basuh sehingga bersih pasu dan alas pasu bunga, kolah mandi dan sebagainya sekurang-kurangnya seminggu sekali;
  • Bersihkah saluran air hujan (salur bumbung) yang tersumbat daripada air bertakung;​
  • Masukkan ubat pembunuh jentik-jentik atau abate ke dalam bekas yang tidak boleh ditutup.

MBSA menggalakkan orang ramai untuk terlibat secara tidak langsung dengan mengambil masa selama 10 minit setiap minggu untuk memastikan kawasan kediaman dan premis berada dalam keadaan bersih serta kemas. 

Pemeriksaan secara berkala akan dilaksanakan di sekitar bandar raya Shah Alam yang berpotensi sebagai tempat pembiakan jentik-jentik Aedes seperti di kawasan kediaman, kawasan berstrata, kilang, tapak binaan, Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta, sekolah/tadika dan sebagainya. 

Pihak MBSA juga memohon kerjasama orang ramai supaya mengambil masa hanya 10 minit seminggu untuk membersihkan kawasan luar dan dalam premis masing-masing bagi mengelakkan pembiakan jentik-jentik Aedes.​

MBSA juga telah menubuhkan Bilik Gerakan Denggi bagi memantau dan menerima aduan serta laporan demam denggi daripada hasil pemeriksaan yang dijalankan dan orang awam. Bilik Gerakan Denggi boleh dihubungi di talian 03-5522 2793 (waktu pejabat).

​ ​