Program Mesra 2016 –Beri Peluang Kepada Orang Ramai Untuk Salur Aduan/Cadangan Kepada 34 Agensi/Jabatan Peringkat Persekutuan Dan Negeri​

29 Julai 2016

Adalah dimaklumkan,  Biro Pengaduan Awam (BPA) Negeri Selangor, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengadakan Program Mesra 2016 pada 16 Julai 2016 (Sabtu), jam 9.00 pagi sehingga 2.00 petang bertempat di Dewan Bungan Kertas MBSA,  Taman TTDI Jaya,  Shah Alam. 
Program Mesra 2016 ini merupakan acara tahunan melibatkan kerjasama pelbagai agensi/jabatan di peringkat Persekutuan dan juga Negeri.  Pada kali ini,  34 agensi/jabatan akan turut serta seperti Majlis Bandaraya Shah Alam,  Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor (IPK),  Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM),  Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor (JPJ),  Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Selangor, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) Negeri Selangor,  Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor,  Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan lain-lain. 

Program ini dianjurkan bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada orang awam untuk menyampaikan masalah mereka secara terus kepada agensi dan jabatan yang berkaitan.  Selain itu,  program ini juga merupakan inisiatif pihak agensi/jabatan sektor awam untuk mendekati masyarakat serta komitmen secara berterusan dalam menyampaikan perkhidmatan yang berkesan kepada masyarakat. 
 
Diantara pengisian Program Mesra 2016 ini adalah perkhidmatan Shah Alam on Wheel (SAOW) oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menawarkan pengurangan bayaran kompaun tempat letak kereta sebanyak RM15,  tawaran diskaun kompaun dari JPJ Selangor,  pameran jentera keselamatan dan kecemasan seperti Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor,  kaunter aduan dan pertanyaan,  serta pameran dan perkhidmatan dari agensi/jabatan yang terlibat. 
Program ini menjadi platform kepada agensi/jabatan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri untuk menyalurkan maklumat  dan masyarakat juga boleh memberikan cadangan,  pertanyaan serta aduan untuk penambahbaikkan agensi/jabatan terlibat.  
Majlis perasmian Program Mesra 2016 ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Harjeet Singh a/l Hardev Singh,  Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam (BPA).  Turut hadir Tuan Shukri bin Mohamad Hamin,  Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA),  Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA. ​

program mesra 2016program mesra 2016
program mesra 2016