​AHLI MAJLIS

Majlis perwakilan penduduk sebagai agen penyaluran masalah dan aduan warga Shah Alam

Majlis Perwakilan Penduduk, Majlis Bandaraya Shah Alam adalah terdiri daripada Ahli Majlis, yang bertindak sebagai Pengerusi; tiga orang Pegawai Kawasan yang terdiri daripada pegawai MBSA serta Ahli jawatankuasa (AJK) MPP seramai 20 hingga 30 orang setiap MPP; berperanan dalam memantapkan lagi peranan dan fungsi MPP Zon tersebut.

MPP merupakan agen penyaluran permasalahan dan aduan-aduan daripada warga Shah Alam kepada MBSA. Justeru itu, kerjasama dan sikap pro-aktif MPP amat diperlukan dalam membantu MBSA menyelesaikan permasalahan dan aduan yang diterima. MPP Shah Alam ditubuhkan pada Mac 2003, di mana hasrat penubuhannya adalah selaras denagn pentadbiran melalui pendekatan local Agenda 21 yang telah dimulakan oleh pihak Majlis sejak tahun 2000 lagi.

Antara tujuan-tujuan penubuhan MPP Shah Alam termasuklah, memperkukuhkan dan memperkemaskan fungsi dan tugas Ahli Majlis sebagai perantara yang menghubungkan Majlis dan penduduk; menjadi perantara dalam menyalurkan maklumat dan peraturan Majlis kepada penduduk; menjadi agen penyaluran permasalahan dan aduan-aduan daripada warga Shah Alam kepada MBSA; di samping menggalakan penyertaan penduduk dalam semua aktiviti yang dianjurkan oleh MBSA. MPP juga bertanggungjawab dalam mengenalpasti kerja-kerja pembaikan kecil, infrastruktur dan keceriaan taman, yang perlu dibuat untuk keselamatan dan kemudahan orang awam.

Organisasi MPP ini terbahagi kepada dua peringkat iaitu MPP Induk dan MPP Zon, manakala, tempoh perlantikan AJK MPP adalah mengikut tempoh perlantikan Ahli Majlis. Dengan wujudnya MPP ini, kawasan pentadbiran MBSA seluas 290.3 km persegi dibahagikan kepada 24 zon. Semua MPP Zon beroperasi di pejabat khas yang dikenali sebagai Pusat Khidmat Ahli Majlis di zon masing-masing yang dilengkapi dengan kemudahan seperti telefon, faks, komputer, kerusi, meja mesyuarat, serta seorang pembantu tadbir operasi.

MPP Zon berperanan penting dalam merapatkan hubungan antara MBSA dan penduduk, melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan, seperti gotong-royong, majlis dialog, ceramah, sukan rakyat dan sebagainya. MPP Zon juga bertanggungjawab dalam menyalurkan pelbagai maklumat Majlis kepada penduduk, terutama perkara-perkara berkaitan dasar-dasar Majlis, kempen kebersihan dan aktiviti semasa. Di samping itu, Ahli Majlis yang bertindak sebagai Pengerusi MPP Zon adalah diamanahkan untuk merencana penggunaan bajet bagi zon masing-masing yang akan digunakan untuk tujuan penganjuran aktiviti dan program kemasyarakatan, serta projek-projek kecil infrastruktur di kawasan masing-masing.

Sememangnya bekerja secara berkumpulan akan menghasilkan sesuatu yang cemerlang dan lebih dari jangkaan sebenar.  Kerjasama dan hubungan baik yang terjalin ini harus dikekalkan dan dilaksanakan secara konsisten pada setiap masa, supaya perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat menjadi lebih efisyen dan menyakinkan. Dengan bantuan dan penglibatan berterusan dari MPP, MBSA akan sentiasa dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan terbaik kepada masyarakat.​​​

MPP 2016


Muat Turun ​​