MAJLIS BANDARAYA SHAH ALAM LAKSANA KEMPEN PENGURANGAN KOMPAUN RM10 BAGI KOMPAUN TEMPAT LETAK KERETA (PERINTAH PENGANGKUTAN JALAN MBSA) SEPANJANG BULAN DISEMBER 2021
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan melaksanakan kembali Kempen Pengurangan Kompaun RM10 bagi kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) sepanjang bulan Disember 2021 untuk memberi peluang kepada Orang Kena Kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan kompaun kepada pihak Majlis. Pelaksanaan kempen pengurangan kompaun ini akan bermula pada 1 Disember hingga 31 Disember 2021.
Selain itu, MBSA turut menawarkan pengurangan kompaun sehingga 70% daripada bayaran sebenar kompaun yang dikenakan. Jenis-jenis kompaun yang layak untuk mendapat pengurangan sehingga 70% adalah kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005, Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007, Undang-Undang Kecil Iklan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007.
Kempen yang dilaksanakan ini merupakan inisiatif MBSA untuk membantu dan menggalakkan OKK menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang gagal menyelesaikan tunggakan kompaun masing-masing.
Orang ramai boleh membuat pembayaran kompaun di Kaunter Utama, Kaunter Pandu Lalu, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning dan Pejabat Cawangan Setia Alam.
Untuk kompaun kesalahan tempat letak kereta, saluran bayaran JomPAY juga telah diperkenalkan untuk memudahkan OKK untuk membuat bayaran kesalahan. OKK hanya perlu memasukkan biller code 6726, nombor kompaun pada ref1 serta nombor telefon pada ref2 dan seterusnya jumlah bayaran. Selain itu, OKK juga boleh menjelaskan bayaran melalui SnapNPay, Maybank2U dan kaunter Bank Muamalat bagi kesalahan yang sama.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil peluang ini untuk menjelaskan tunggakan kompaun mereka sebelum tindakan diambil ke atas OKK antaranya sekatan urusniaga di kaunter-kaunter Majlis atau membawa tindakan ke mahkamah.
Sehubungan itu, Majlis menyeru orang ramai khususnya yang memiliki tunggakan kompaun agar mengambil peluang terhadap kempen ini untuk menyelesaikan kompaun masing-masing. Sebarang pertanyaan berhubung perkara ini, orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55222882 atau 03-55105133 sambungan 1757, 1658, 1540 dan 1521 atau layari portal MBSA di eps.mbsa.gov.my