PEMBERHENTIAN SEMENTARA OPERASI DI KAUNTER DAN PENANGGUHAN AKTIVITI MBSA

PEMBERHENTIAN SEMENTARA OPERASI DI KAUNTER DAN PENANGGUHAN AKTIVITI MBSA
18/03/2020

Selaras dengan  Perutusan Khas YAB Perdana Menteri mengenai COVID-19 pada 16 Mac 2020 (Isnin) dan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bilangan 10/2020 (Khas) pada 17 Mac 2020 (Selasa) berikutan Langkah Perintah Kawalan Pergerakan, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memberhentikan sementara operasi di kaunter utama, kaunter pandu lalu, kaunter di Jabatan- Jabatan termasuk kaunter di Pejabat Cawangan Setia Alam, Sungai Buloh dan Kota Kemuning mulai 18 Mac hingga 31 Mac 2020.

 

Sehubungan dengan itu, pihak MBSA turut mengarahkan semua premis perniagaan termasuk penyewa gerai, kiosk, pasar malam, pasar tani, penjaja sementara, pasar pagi, dan food truck DITUTUP bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020 KECUALI pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian dan ubat-ubatan. Manakala itu, premis makanan boleh beroperasi tetapi terhad kepada perkhidmatan pembungkusan atau penghantaran makanan sahaja.

 

Pihak MBSA juga telah mengambil langkah untuk MENANGGUHKAN acara keraian, program, aktiviti dan perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering) bagi mengelak penularan virus COVID-19 dengan menutup/memberhentikan  penyewaan dewan-dewan untuk majlis keramaian dan aktiviti sukan.

 

Pada masa yang sama, pihak MBSA turut menutup sementara Perpustakaan Anggerik Aranda MBSA Seksyen 19, Perpustakaan Anggerik Vanilla MBSA Seksyen 31, Kota Kemuning dan Perpustakaan Anggerik Mokara MBSA  Seksyen U5.  Selain itu,  permohonan untuk perkhidmatan perpustakaan bergerak akan ditangguhkan sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

 

Namun begitu, pihak MBSA akan meneruskan perkhidmatan yang penting (essential services) seperti kerja-kerja pembersihan sampah domestik, pembersihan awam, pemantauan serta rondaan kawasan dan sebagainya.  Sehubungan itu,  pihak MBSA telah membuka Bilik Gerakan di Tingkat 1,  Wisma MBSA untuk memastikan maklumat dan informasi yang berkaitan dapat disalurkan kepada orang awam. Bilik Gerakan ini boleh dihubungi di talian terus  03-55222702  atau 03-5510 5133 sambungan 1515 dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang.   

  

Orang awam turut dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman pada tangan (hand sanitizer).

 

Pihak MBSA berharap orang awam cakna terhadap langkah-langkah pencegahan dari penularan jangkitan COVID-19 demi menjaga kesejahteraan dan kemaslahatan masyarakat khususnya yang tinggal di Shah Alam.

​