​Bandar Perindustrian Moden

Pembukaan bandar Shah Alam turut menjadi satu penanda aras bagi pembukaan bandar-bandar baru yang lain termasuk dari dalam dan luar negara. Ini kerana bandar ini merupakan bandar moden yang dirancang rapi. Malah Shah Alam juga adalah bandar pertama yang menggunakan sistem pembentungan berpusat serta kabel utiliti bawah tanah, menjadikan bandar ini terhindar dari penglihatan kabel lampu jalan mahupun kabel telefon yang biasa kelihatan di bandar-bandar lama.

Shah Alam juga terkenal sebagai bandar perindustrian dengan prasarana yang moden serta lokasi yang strategik iaitu berhampiran 25 km dari Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Subang, yang merupakan lapangan terbang antarabangsa sebelum Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dibuka. Faktor ini menjadikan Shah Alam sebagai pilihan ribuan kilang multi-nasional yang beroperasi mengeluarkan produk untuk pasaran antarabangsa.

Shah Alam juga terkenal sebagai bandar perindustrian dengan prasarana yang moden serta lokasi yang strategik iaitu berhampiran 25 km dari Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Subang, yang merupakan lapangan terbang antarabangsa sebelum Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dibuka. Faktor ini menjadikan Shah Alam sebagai pilihan ribuan kilang multi-nasional yang beroperasi mengeluarkan produk untuk pasaran antarabangsa.

Setelah lima tahun diisytihar sebagai ibu negeri Selangor, pada 1983 kilang pengeluar kereta nasional pertama negara, PROTON membuka ibu pejabat, kilang dan pusat edarannya dalam kawasan Shah Alam. Shah Alam juga meyaksikan kelahiran model sulungnya, SAGA pada 9 Julai 1985. Kewujudan kilang PROTON secara tidak langsung menjulang nama Shah Alam di persada dunia. Ramai pelawat dari dalam dan luar negara mengunjungi Shah Alam bagi mempelajari pembangunan serta kemudahan yang disediakan.

Senario ini menjadikan Shah Alam tumpuan penghijrahan penduduk dari seluruh Malaysia untuk mencari rezeki dan bertapak di Shah Alam. Ternyata langkah pembukaan Shah Alam 47 tahun yang lalu amat tepat dan ianya memberikan harapan baru kepada warga Malaysia keseluruhannya.

Bandar raya ini kini menjadi tumpuan pelbagai pihak. Jika dulu Shah Alam hanya dihuni oleh pekerja industri dan pelajar ITM (sekarang UiTM), sehingga ada gurauan yang mengatakan lebih ramai orang Jepun (kerana banyak kilang dari Jepun beroperasi di Shah Alam) dari rakyat tempatan pada waktu itu, namun kini keadaan jauh berbeza. Rakyat Malaysia yang rajin dan sentiasa memandang ke hadapan pantas mengambil-alih dengan pembangunan pejabat korporat, pasar raya, perdagangan, taman-taman perumahan dan sebagainya, memberi keselesaan dan mewarnai kehidupan masyarakat Shah Alam.

Dengan kepadatan penduduk seramai melebihi 600,000 dan jumlah pegangan harta sehingga Oktober 2010 sebanyak 177,923, Shah Alam akan terus terpahat di hati penghuninya kerana keunikan senibina, keindahan dan kehijauan pemandangan yang akan terus dipertahankan. Ayuh! Warga Shah Alam, tunjukkan rasa cinta anda dengan memelihara kebersihan dan alam sekitar agar bandar raya ini menjadi pilihan anak cucu serta generasi akan datang.

Bandar Perindustrian Moden