Majlis Bandaraya Shah Alam Anjur Program Ziarah Ramadan 2016 - Hulur Sumbangan Ramadhan Kepada 156 Buah Keluarga Sekitar Shah Alam

2 Jun 2016

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meneruskan aktiviti penyerahan sumbangan sempena ketibaan bulan Ramadan, menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan khususnya penduduk yang kurang bernasib baik di sekitar Shah Alam. 

Pihak MBSA melalui Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam telah mengenalpasti seramai 156 penerima sumbangan terdiri daripada warga Shah Alam yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah, layak menerima sumbangan Ramadan mengikut kriteria yang ditetapkan seperti golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas yang tidak berkemampuan serta Orang Kurang Upaya (OKU).

Tujuan program ini diadakan adalah untuk membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan bagi membuat persediaan menyambut bulan Ramadan. Ia merupakan komitmen secara berterusan oleh pihak Majlis untuk membantu masyarakat melalui program kemasyarakatan disamping memberi peluang kepada warga Shah Alam untuk mengenali pihak pengurusan Majlis.Selain itu, program ini juga merupakan platform pihak MBSA  untuk merapatkan hubungan silaturrahim dan ukhwah antara pihak MBSA dan masyarakat setempat.  

Sumbangan yang diberikan adalah berbentuk barangan makanan kering keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, sardin, milo,  kicap,  sos cili,  kordial,  susu pekat dan sebagainya bagi menjamin menu harian yang sihat.  Nilai barangan yang disumbangkan oleh MBSA kepada golongan ini adalah sebanyak RM150 dan wang tunai sebanyak RM100 untuk setiap keluarga.  Lembaga Zakat Selangor turut memberikan sumbangan fidyah sebanyak RM9000.00 menjadikan jumlah penerima sumbangan bertambah dari 120 orang tahun lepas kepada 156 orang pada tahun ini. 

Program penyerahan sumbangan ini disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Hj. Ahmad Zaharin b. Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam di kawasan Pangsapuri Rimba Jaya, Seksyen 16,  Shah Alam. Turut serta pada program ini ialah Puan Noraini Binti Hussin, Ahli Majlis  MPP Zon 5.  Turut hadir Tn. Hj. Rosli b. Bakar, Timbalan Setiausaha MBSA,  Ahli-Ahli Majlis MBSA, dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.  Penyerahan sumbangan barangan serta wang tunai akan diberikan di seluruh kawasan MPP di bawah kawasan pentadbiran MBSA. 
Pihak Majlis berharap melalui program ini dapat membantu sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh mereka yang kurang bernasib baik untuk menjalani ibadah dengan sempurna pada bulan Ramadan. 

​​ziarah 2
ziarah 3ziarah 4