Seramai 600 Peserta Menanam 3,000 Anak Pokok Sempena Program ‘Shah Alam Trees For Life’ Anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam Bersama Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd – Ke Arah Inisiatif Hijaukan Bandar Raya Shah Alam

20 Mei 2017

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama-sama CANON Marketing (Malaysia) Sdn Bhd telah menganjurkan program penanaman pokok ‘Shah Alam Trees For Life 2017’ bertempat di kawasan bersebelahan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Program ini merupakan insiatif dan kerjasama pihak MBSA bersama CANON Marketing (Malaysia) Sdn Bhd dalam menjayakan program Shah Alam Trees For Life untuk menghijaukan landskap bandar raya Shah Alam.  Pada program kali ini, pihak CANON Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd telah menyumbang sebanyak RM30,000 kepada pihak Majlis.  3,000 anak pokok telah ditanam di sekitar kawasan bersebelahan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Seksyen U8, Bukit Jelutong. Antara anak-anak pokok yang telah ditanam adalah pokok renek seperti Jastica, Rulia, Dracena, Ligostremia, pokok teduhan/pokok buah-buahan seperti kemboja, kuinin, cempaka dan melinjau.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing (Malaysia), Andrew Koh dalam ucapannya menyatakan bahawa Canon berbesar hati untuk sekali lagi bekerjasama dengan MBSA dalam usaha menanam lebih banyak pokok demi manfaat kepada alam sekitar.  

“Foto-foto pertama yang dicetak di atas kertas memberikan banyak memori kepada rakyat Malaysia. Canon berbangga kerana sentiasa menjadi rakan buat rakyat Malaysia untuk merakam momen-momen penting dan legasi yang berterusan ketika kami meraikan ulang tahun ke-30 berada di Malaysia pada tahun ini. Kami ingin menyumbang kembali kepada rakyat Malaysia yang telah menyokong kami selama ini.  Hari ini, dengan sokongan MBSA, rakan-rakan niaga dan syarikat-syarikat kumpulan Canon - Canon Opto, Canon Machinery dan Canon Mailcom, kami akan menanam 3,000 anak pokok sebagai tanda komitmen berterusan untuk memulihara dan mengekalkan alam semula jadi. Ini bagi memastikan lebih banyak memori dapat dicipta,” kata Koh.  

Majlis hari ini dihadiri oleh YBhg. Dato’ Haji Ahmad Zaharin bin Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam, Encik Andrew Koh, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing (Malaysia),  serta Ahli-Ahli Majlis MBSA,  Pengarah Jabatan MBSA dan kakitangan MBSA.

Program Shah Alam Trees For Life ini telah melibatkan penyertaan seramai 600 orang peserta termasuk 440 warga kerja Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd, 100 orang kariah masjid dan penduduk sekitar, serta sukarelawan dan warga kerja MBSA. Diantara pengisian program pada hari ini adalah Penerangan Penanaman Pokok oleh Encik Ismail bin Abd. Razak, Pegawai Pertanian, Jabatan Landskap MBSA. 

MBSA juga adalah komited ke arah Shah Alam yang hijau melalui pelaksanaan program-program Inisiatif Hijau Shah Alam seperti Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, Perintis Hijau, Kebun di Sekolah,  Kebun Komuniti, Penyediaan Trek Basikal Shah Alam dan lain-lain. 


trees for life 

​​​​​trees for life

trees for lifetrees for life
​​​bazartrees for life
​​​​​​​
​​