Majlis Bandaraya Shah Alam Anjur Majlis Iftar Jamaie Mbsa 2017 – Program Kemasyarakatan Bantu Golongan Kurang Berkemampuan Di Bulan Ramadan

9 Jun 2017

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah menganjurkan Majlis Iftar Jamaie MBSA 2017 sempena Ramadan 1438H.  Majlis ini merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh pihak Majlis untuk memperkasakan hubungan silaturrahim antara pihak MBSA dan para stakeholders seperti anak-anak yatim, media massa dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam. 

Seramai 105 orang Anak-Anak Yatim dan Asnaf  dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh, Shah Alam dan 30 orang pelajar Maahad Tahfiz An-Nabawi (MATAN), Kompleks Darul Thibbun Nabawi, Seksyen 8, Shah Alam   hadir ke Majlis Iftar Jamaie MBSA 2017 ini.   Pihak MBSA telah menyerahkan sumbangan Ramadan kepada pihak Pengurusan Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras bernilai RM2,000 dan setiap individu (anak-anak yatim dan pelajar tahfiz) menerima sumbangan duit raya berjumlah RM 50  seorang.
 
Majlis ini juga merupakan inisiatif MBSA untuk membantu kakitangan MBSA yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban  sepanjang bulan Ramadan.  Seramai 68 orang warga kerja MBSA layak menerima sumbangan mengikut kriteria yang ditetapkan seperti ibu atau bapa tunggal, mempunyai anak-anak istimewa,  warga kerja berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU),  dan  warga kerja yang mempunyai penyakit kronik.  Sumbangan yang diberikan adalah melalui Tabung Majikan Prihatin MBSA bernilai RM300 untuk setiap penerima.

Melalui sumbangan yang diberikan, pihak Majlis berharap dapat meringankan beban mereka yang memerlukan bagi menyambut bulan Ramadan serta sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba. Majlis ini juga merupakan platform pihak MBSA sebagai tanda keprihatinan pihak Majlis terhadap warga kerjanya sendiri yang memerlukan bantuan serta mengeratkan hubungan antara majikan dan pekerja.

Selain itu, Majlis ini juga merupakan usaha berterusan pihak MBSA untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di antara pihak media massa  dan MBSA.  Pihak Majlis menghargai sumbangan pihak media massa yang telah banyak membantu mewar-warkan aktiviti dan program Majlis sekaligus meningkatkan imej Majlis di mata masyarakat.

Majlis dihadiri oleh YBhg. Dato’ Hj. Ahmad Zaharin b. Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam. Turut serta pada majlis ini Ahli-Ahli Majlis, Pengarah-Pengarah Jabatan, MBSA serta kakitangan pelbagai jabatan, MBSA. Warga kerja MBSA turut mengerjakan solat Maghrib, Tarawikh dan Isyak secara berjemaah bagi menyempurnakan ibadah puasa. 


bazar​ 

​​​​​bazar

bazarbazar
bazarbazar
bazarbazar