Majlis Bandaraya Shah Alam Anjur Sesi Townhall Bandar Raya Rendah Karbon Shah Alam 2017 -  Pendedahan Menyeluruh Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon Shah Alam 2030

11 Julai 2017

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah menganjurkan Sesi Townhall Bandar Raya Rendah Karbon 2017 pada 11 Julai 2017 (Selasa) bertempat di Teater Shah Alam. Seramai 600 orang telah menyertai Sesi Townhall ini melibatkan wakil agensi jabatan kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Malaysia, perunding, pemaju dan warga kerja MBSA.

Sesi Townhall Bandar Raya Rendah Karbon 2017 ini merupakan platform pihak MBSA untuk memberikan pendedahan secara komprehensif kepada para peserta yang hadir serta bertukar idea dan pandangan bagi merealisasikan matlamat Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon di Shah Alam 2030.  

Antara pengisian program adalah Pembentangan Perkongsian Inisiatif Rendah Karbon Shah Alam melalui pelbagai insiatif yang telah dilaksanakan oleh pihak MBSA seperti Projek Bersama Komuniti oleh Puan Hajah Asmah binti Mohd Zin, Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti, Projek Pengasingan Sisa Pepejal, 3R dan Kompos oleh Encik Azmi bin Ameer Khan, Ketua Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam, Projek Infrastruktur Hijau dan Pengurusan Tenaga oleh Ir. Cheremi bin Tarman, Pengarah Kejuruteraan, Projek Trees For Life, Kebun Komuniti dan Kompos Sisa Taman oleh Tuan Mohd Yunus b Suri, Pengarah Lanskap, dan Pengangkutan Awam di Shah Alam oleh Encik Noraznizam  bin Alias, Ketua Bahagian Pengangkutan Bandar.

Pada Sesi Townhall ini juga diadakan Majlis Pelancaran Buku Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon Shah Alam 2030. Buku Pelan Tindakan ini merupakan kesungguhan dan komitmen pihak MBSA untuk menjadikan Shah Alam Bandar Raya Rendah Karbon menjelang tahun 2030. Pihak MBSA mensasarkan pengurangan karbon sebanyak 45% menjelang 2030.

Pihak MBSA juga komited dengan inisiatif rendah karbon ini dengan melantik Duta Hijau sesi 2017/2018 . Duta Hijau merupakan salah satu langkah pihak MBSA ke arah Bandar Raya Rendah Karbon menjelang 2030 dengan melantik 14 orang Pegawai MBSA yang berperanan sebagai penggerak pelaksanaan inisiatif hijau di MBSA.

Pada tahun 2016, pihak MBSA secara agresifnya telah  mengadakan Taklimat & Sesi Perbincangan Shah Alam ke Arah Bandaraya Rendah Karbon, Kempen Bangunan Rendah Karbon & Majlis Perasmian Pengecas Kenderaan Elektrik , Sesi Advance Training LCCF Bersama Pemaju Shah Alam dan Menaiktaraf Kerja-kerja Pembinaan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) di Dewan Bola Tampar, Seksyen 4, Dewan Bunga Tanjung, Seksyen 19 dan Pejabat Cawangan Setia Alam, Seksyen U1 sebagai komitmen berterusan dalam mengekalkan usaha-usaha ke arah persekitaran hijau yang mampan.

Bagi menggalakkan penyertaan secara menyeluruh oleh seluruh komuniti Shah Alam, pihak MBSA juga menganjurkan Pertandingan Anugerah Bandar Rendah Karbon Shah Alam 2017.  Anugerah ini merupakan platform pihak MBSA untuk menggalakkan budaya kreatif dan inovatif  terhadap alam sekitar berteraskan rendah karbon dikalangan organisasi dan komuniti di Shah Alam.  Di samping itu,  ia juga merupakan inisiatif pihak MBSA untuk memberi penghargaan terhadap individu dan organisasi yang komited dalam melaksanakan inisiatif hijau ke arah pembangunan yang mampan dan rendah karbon di Shah Alam.

 Pihak MBSA juga telah berjaya merangkul beberapa anugerah iaitu Anugerah Langkawi 2016,  Anugerah Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau 2016 Sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Selangor,  Anugerah Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau Sempena Hari Karnival KPKT 2016 serta menerima pengiktirafan dari Malaysian Institute of Planners (MIP) Recognition Awards 2016.

Majlis Perasmian Sesi Townhall Bandar Raya Rendah Karbon 2017 ini   disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Hj. Ahmad Zaharin b. Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam. Turut serta Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah Jabatan, MBSA.  

​​

raya​​​​

​​​​​​raya

rayaraya
rayaraya
​​​​​​