Majlis Bandaraya Shah Alam Perkenal Aplikasi ‘SnapNPay’ – Memudahkan Pengguna Menjelaskan Bayaran Menggunakan Telefon Mudah Alih

29 Ogos 2018

Dalam usaha untuk memudahkan urusan pembayaran, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah memperkenalkan kaedah bayaran menerusi aplikasi ‘SnapNPay’. Pembayaran dengan menggunakan aplikasi ‘SnapNPay’ ini merupakan kerjasama antara MBSA dan Bank Islam (M) Berhad. 

Aplikasi bayaran ‘SnapNPay’ ini adalah yang pertama seumpamanya dibangunkan dan pihak MBSA menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang menggunakannya. Aplikasi ini dapat memudahkan pengguna membuat bayaran kompaun dan cukai taksiran tanpa perlu memasukkan nombor akaun dan jumlah bayaran. Selain itu, pengguna juga boleh membuat bayaran tunggakan Majlis yang merangkumi urusniaga seperti cukai taksiran, kompaun, bil sewaan, bil air, bil elektrik, lot kosong (kos pembersihan) dan bayaran lesen. 

Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi bayaran ‘SnapNPay’ di Google Play Store (Android) atau App Store (IOS) secara percuma. Pengguna hanya perlu mengimbas kod bar atau kod QR untuk nombor akaun dan jumlah bayaran yang tertera pada invois cukai taksiran, notis kompaun dan notis sekatan yang diterima. Pengguna dikehendaki memilih saluran bayaran yang disediakan di dalam aplikasi SnapNPay dan proses bayaran akan disambungkan kepada portal perbankan internet.  
MBSA kini mempunyai pelbagai saluran bayaran antaranya di kaunter utama dan pejabat cawangan, perbankan internet, pejabat bergerak Shah Alam On Wheels dan kaunter pandu lalu.  

Aplikasi ‘SnapNPay’ ini secara tidak langsung dapat memberi pilihan kepada pengguna seiring dengan perkembangan teknologi telefon mudah alih selain dapat menaikkan imej Majlis sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama yang melaksanakan bayaran melalui aplikasi ini. 

Majlis Pelancaran Aplikasi ‘SnapNPay’ ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Ahmad Zaharin bin Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam dan Encik Zury Rahimee Zainal Abiden, Ketua, Deposit & Pengurusan Tunai, Bank Islam (M) Berhad. Turut hadir adalah Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.

Sebarang pertanyaan berkenaan pelaksanaan ‘SnapNPay’ ini, sila hubungi Jabatan Kewangan, MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1203, 1295, 1522, 1656, 1657, 1658.

snapnpay​​​​

​​​​​​​snapnpay

YBhg. Dato’ Haji Ahmad Zaharin bin Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam bersama gimik pelancaran SnapNPay 
​YBhg. Dato’ Haji Ahmad Zaharin bin Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam (tiga dari kiri) menerima cenderahati dari  Encik Zury Rahimee Zainal Abiden, Ketua, Deposit & Pengurusan Tunai, Bank Islam (M) Berhad (dua dari kanan)

snapnpay
​YBhg. Dato’ Haji Ahmad Zaharin bin Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada  Encik Zury Rahimee Zainal Abiden, Ketua, Deposit & Pengurusan Tunai, Bank Islam (M) Berhad (dua dari kanan)
​ YBhg. Dato’ Haji Ahmad Zaharin bin Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam (tengah) bersama Encik Zury Rahimee Zainal Abiden, Ketua, Deposit & Pengurusan Tunai, Bank Islam (M) Berhad (kanan sekali) mempamerkan aplikasi SnapNPay