Majlis Perasmian  Jambatan Kanopi, Menara Tinjau Dan Trek Basikal Kanak-Kanak Di Taman Tasik Shah Alam Oleh Dytm Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, Dytm Raja Muda Selangor

27 Oktober 2018

Adalah dimaklumkan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah menyediakan tarikan baharu di Taman Tasik Shah Alam berupa Jambatan Kanopi,  Menara Tinjau,  Titi Gantung dan Trek Basikal Kanak-Kanak.  

Projek pengindahan ini bertujuan memberikan daya tarikan baharu kepada para pengunjung Taman Tasik Shah Alam.  Tasik ini sering menjadi tumpuan untuk aktiviti riadah dan rekreasi kerana persekitaran dan keindahan landskap yang menggamit masyarakat sekitar Lembah Klang khususnya warga Kota Shah Alam. 

Terdapat 4 komponen utama yang telah disediakan iaitu Jambatan Gantung sepanjang 147.6 meter panjang dengan ketinggian 3 meter.  Titi Gantung pula adalah sepanjang 60 meter panjang. 

Selain itu turut disediakan Menara Tinjau setinggi 6 meter yang terletak di kawasan berbukit bagi memberikan pemandangan dari posisi atas Taman Tasik Shah Alam.  Kini para pengunjung boleh menikmati pemandangan tasik ini pada paras ketinggian yang selamat.

Turut dibina jambatan khas untuk kanak-kanak merasai pengalaman berada di atas jambatan dengan paras yang selamat.  Jambatan Kanak-Kanak ini berukuran 46 meter panjang.   

MBSA juga turut prihatin terhadap kehendak kanak-kanak yang perlu membesar dengan sihat dan cergas.  Justeru,  sebuah Trek Basikal Kanak-Kanak dibina bagi memberikan peluang kepada kanak-kanak merasai dan  mempelajari keselamatan semasa menunggang basikal dengan selamat.  Trek Basikal Kanak-Kanak yang dibina sepanjang 129 meter panjang. 

Taman Tasik Shah Alam merupakan kawasan hijau yang yang dibina bagi memberikan redupan dan keseimbangan suasana dalam taman di Bandar Raya Shah Alam.  Taman Tasik ini telah siap dibina pada tahun 1985 dan mempunyai banyak kemudahan untuk pengunjung seperti laluan pejalan kaki,  ‘outdoor gym’,  Laman Budaya, kemudahan awam seperti tandas,  wakaf/pondok rehat,  jambatan kayu dan sebagainya. 

Dengan adanya tarikan baharu ini,  pihak MBSA mengharapkan kerjasama pengunjung supaya dapat bersama-sama menjaga kemudahan awam yang disediakan supaya ianya dapat digunakan dengan selamat dan selesa.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, DYTM Raja Muda Selangor.  Turut hadir YB. Mohd Najwan bin Halimi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, YBhg. Dato’ Haji Ahmad Zaharin bin Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam, Ahli-Ahli Majlis serta Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA. 

kanopi​​​​

​​​​​​​kanopi

kanopi
kanopi