Majlis Bandaraya Shah Alam Anjur Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 – Iktiraf 129  Kakitangan Cemerlang 

10 April 2017

Majlis Bandaraya Shah Alam meraikan seramai 129 orang kakitangan cemerlang melalui Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 yang diadakan di Dewan Auditorium MBSA. Majlis dimeriahkan oleh lebih daripada 1000 orang warga kerja MBSA. Majlis dianjurkan saban tahun bagi menghargai jasa dan komitmen kakitangan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun, di samping mengangkat peranan MBSA sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya warga Shah Alam. 

Seramai 129 orang warga kerja MBSA dari pelbagai gred dan jawatan telah diiktiraf untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2016. Pihak Majlis amat menghargai komitmen dan kesungguhan warga kerjanya dengan meraikan kakitangan cemerlang yang merupakan aset dan tulang belakang dalam memperkasakan sistem penyampaian  (delivery system) dan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Penerima anugerah ini dinilai dari segi kebertanggungjawaban, intergriti, kepatuhan terhadap peraturan kerja, prestasi yang memberangsangkan, kemampuan untuk menyelesaikan tugas dengan baik, serta usaha dan komitmen kakitangan dalam menjalankan tugas yang diberi. Penerima akan menerima hadiah prestasi berjumlah RM1000 setiap seorang, sijil Perkhidmatan Cemerlang, Sijil Simpanan Premium BSN bernilai RM400, serta mendapat peluang dan keutamaan dalam memajukan kerjaya.

Objektif utama pengiktirafan ini diberikan adalah sebagai dorongan kepada seluruh warga kerja MBSA untuk mempertingkatkan lagi prestasi kerja dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugasan seharian. Dengan pemberian anugerah ini pihak Majlis berharap agar penerima anugerah dapat meneruskan komitmen dan perkhidmatan yang cemerlang dalam melaksanakan tugas-tugas yang telah diamanahkan. Penganugerahan ini juga merupakan salah satu usaha berterusan pihak Majlis untuk menjadikan MBSA sebuah organisasi yang cemerlang dan progresif dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada stakeholder, khususnya warga bandar raya Shah Alam. 

Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 disempurnakan oleh YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin bin Ahmad Ahya. Turut serta adalah Datuk Bandar Shah Alam, YBhg. Dato’ Hj. Ahmad Zaharin b. Mohd Saad, Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA. 


APC 2016 

​​​​APC 2016

APC 2016APC 2016
APC 2016APC 2016
    ​​​​​​​APC 2016
 ​​​​​