​​Majlis Bandaraya Shah Alam Tambah Anggota Penguatkuasa – Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Penguatkuasa Siri 1/2016

2 Jun 2016

Seramai 17 orang anggota penguatkuasa termasuk seorang Penolong Pegawai Keselamatan dan Pegawai Penguatkuasa telah berjaya menamatkan latihan pada Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Penguatkuasa Siri 1/2016. 

Anggota penguatkuasa ini telah menjalankan latihan dan kursus intensif selama sebulan mulai 3 Mei 2016 bertujuan untuk melahirkan anggota penguatkuasa yang berpengetahuan dalam menjalankan tugasan yang diberikan,  bertanggungjawab,  berintegriti serta amanah dalam melaksanakan tugas-tugas yang diberikan.

Tiga modul  asas yang diterapkan adalah Program Akademik, Program Prosedur Kerja dan Program Latihan Luar. Program Akademik merupakan latihan dalam kelas bagi mendalami pemahaman Undang-Undang Kecil MBSA serta Akta-Akta yang digunapakai oleh Majlis manakala Program Prosedur Kerja anggota diberi latihan amali dan praktikal mengenai tatacara menulis dan menyerahkan notis/kompaun, prosedur penyitaan dan tuntutan, penyediaan laporan tugas serta pengendalian Sistem Kompaun Tanpa Wayar. Bagi Program Latihan Luar, anggota diberikan latihan kawad kaki dan menyertai Operasi Bersepadu Bersama Agensi Luar sebagai proses pembelajaran.

Ia merupakan usaha berterusan pihak MBSA untuk membentuk dan melahirkan anggota penguatkuasa yang cekap serta diiktiraf melalui akademik dan bersedia untuk bertugas serta mempunyai daya ketahanan fizikal dan mental yang tinggi, mengamalkan nilai-nilai murni dan beretika. ​

Penyampaian sijil Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Penguatkuasa Siri 1/2016 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato Hj Ahmad Zaharin bin Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Turut hadir bersama pada program ini adalah Timbalan Setiausaha MBSA, Ahli-Ahli Majlis,  dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.
​ ​
​ ​Anggota penguatkuasa MBSA bersedia untuk melakukan aktiviti kawad kaki
​ ​
​​ ​ Dato' Haji Ahmad Zaharin Mohd Saad,  Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam melakukan pemeriksaan barisan anggota penguatkuasa
​ ​
​ ​Omar Latiff bin Abdul Razak menerima Anugerah  Keseluruhan Pelatih Terbaik daripada Dato' Haji Ahmad Zaharin Mohd Saad,  Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam